Saadiah guna duit kahwin dijadikan modal bisnes

A
A
A
SINONIM dengan promosi beli dua pasang RM100, Qaysaa Hijabs, butik yang menawarkan busana kasual begitu dikenali terutamanya dalam kalangan Muslimah moden.

Menampilkan rekaan yang moden, ringkas menepati syariah amat dititik-beratkan pengasasnya, Siti Saadiah Yahya, 31.

Meskipun moden, busana yang ditawarkan masih menutup aurat dan tidak keterlaluan dan sesuai digayakan sama ada ke pejabat, majlis rasmi mahupun kasual.

Patuh syariah

Menurut Saadiah, idea tercetus apabila kebanyakan pengeluar menyediakan baju yang singkat, tidak mesra penyusuan ibu dan tidak menepati kehendak Muslimah moden di negara ini.

"Jadi, kami hasilkan sendiri koleksi pakaian yang lebih ringkas dan menepati citarasa ramai khususnya Muslimah,” katanya.

Tambahnya, material yang digunakan adalah berkualiti dan pemilihan fabrik mengambil kira keadaan suhu di negara ini.

"Kita pastikan setiap material yang dihasilkan menyerap peluh, selesa dan tidak panas untuk memastikan keselesaan pelanggan,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, setiap rekaan menitikberatkan soal aurat, maka pakaian yang direka di butik itu haruslah longgar dan tidak melekat.
Artikel Berkaitan:


"Saya amat mementingkan pemilihan fabrik yang terbaik meskipun harga ditawarkan kepada pelanggan adalah mampu milik.

"Bagi saya, soal kualiti menjadi keutamaan agar pelanggan selesa dan berpuas hati dengan pakaian yang kami hasilkan,” katanya.

Saadiah berkata, setiap rekaan juga didatangkan dengan empat ke lima rekaan baru setiap bulan.

"Itu menjadi KPI (Indeks Prestasi Utama) kepada kami untuk menghasilkan lebih banyak rekaan. Kami juga akan tampilkan wajah berbeza serta gaya yang sesuai untuk setiap rekaan dihasilkan,” katanya.

Lebih puas berniaga

Mengimbas kembali permulaan perniagaannya, lulusan Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, beliau bermula secara serius setelah berhenti bekerja di sebuah syarikat terkemuka.

"Saya mula berniaga secara kecil-kecilan ketika masih belajar lagi. Setelah habis belajar, saya bekerja selama setahun dan akhirnya berhenti untuk fokus secara serius dalam berniaga,” katanya.

Menurutnya, keinginan berniaga sentiasa membuak-buak dan lebih memberi kepuasan.

"Disebabkan itu, saya menggunakan duit yang dikumpul untuk kahwin sebagai modal permulaan berniaga. Pada ketika itu, saya berniaga bazar di Ipoh dengan menjual baju siap.

"Jadi, itulah permulaan saya berniaga secara serius dan akhirnya mengambil keputusan membuka Butik Qaysaa Hijabs di Shah Alam, Selangor pada 2013,” katanya.

Dengan perniagaan yang semakin berkembang, Saadiah kini dibantu oleh suaminya, Saiful Dzulkifli, 32, Juga sanggup melepaskan kariernya sebagai jurutera.

Isu ciplak

Menurut Saadiah, dalam menguruskan perniagaan, beliau juga tidak lari daripada berdepan pelbagai cabaran, namun mengambilnya sebagai sesuatu yang positif untuknya terus bangkit.

"Banyak cabaran yang kami hadapi, terutamanya bila perniagaan mula dikenali bila mana rekaan kami diciplak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ini sedikit sebanyak menjejaskan nama syarikat. Mereka guna gambar dan mengaku sebagai ejen kami. Ini menyebabkan pelanggan tertipu dan memberi kesan kepercayaan pelanggan terhadap kami,” katanya yang mempunyai 143,000 pengikut di Instagram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!