Perak FC kecewa keputusan seri di laman sendiri
KEPUTUSAN seri yang dicatatkan di Stadium Perak di Ipoh pada Jumaat amat mengecewakan di sebalik pemainan menarik ditampilkan oleh pasukan Perak FC.
Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang diharapkan kerana pemain menunjukkan peningkatan pada perlawanan menentang Kelantan United FC itu.
Sungguh pun begitu, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya termasuk pemain yang baharu menyertai pasukan iaitu Azalinullah Alias, Jesper Nyholm dan Kanghyun Kim.
"Walaupun kami gagal membawa tiga mata tetapi satu mata membuat pemain bertambah yakin dengan perlawanan yang boleh saya katakan sepatutnya kita berjaya mengutip tiga mata di laman sendiri.
"Apapun kita tahu, masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan akan datang.
"Ya, memang keputusan yang sukar tapi kita terima. Mungkin itu ketentuan ALLAH lebih baik diberi kepada saya walaupun kita akan cuba sebaik mungkin buat bantahan, namun ia tetap tidak akan mengubah keputusan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan Kelantan United FC di Stadium Perak di sini.
Dalam pada itu, Yusri mengakui kemasukan pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini memberi impak yang besar kepada pasukan terutama pada bahagian tengah dan pertahanan.
Katanya, kesemua pemain bekerja keras memastikan benteng tidak dibolosi dan mahu memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan namun pasukan lawan berjaya juga menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.
"Pemain-pemain yang kita bawa masuk memberi impak yang cukup luar biasa dan kemungkinan akan datang dengan barisan pemain yang mengalami kecederaan sebelumnya bertambah baik, mungkin untuk perlawanan akan datang kita akan dapat mengguna pakai keseluruhan pemain yang ada selama ini.
"Saya rasa semua orang bersetuju dengan corak permainan tampilkan oleh Azalinullah begitu juga dengan Jasper (Nyholm)," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Perak FC membuka jaringan seawal minit ke-9 menerusi Sunday Afolabi sebelum Kelantan United FC dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin menjadikan kedudukan 1-1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!