Amaran KL City buat JDT
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) perlu lebih berwaspada pada aksi final Piala FA apabila Kuala Lumpur (KL) City melaungkan amaran untuk tampil dengan lebih garang pada 22 Julai depan.
Amaran itu dilaungkan jurulatih KL City, Bojan Hodak yang menegaskan skuad warga Kota akan tampil lebih 'garang' apabila mengesahkan beberapa pemain utama sudah bebas daripada masalah kecederaan.
Katanya, beberapa tonggak yang mengalami kecederaan dan tidak diturunkan ketika tumbang 1-6 kepada JDT dalam aksi Liga Super minggu lalu dan sudah sedia untuk diturunkan.
Malah, kelompok pemain itu sudah kembali beraksi pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Cheras malam Jumaat menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3.
“Menjelang aksi final (Piala FA), perkara baik berlaku kepada kami apabila para pemain yang cedera sebelum ini sudah kembali antaranya Akram Mahinan dan Khair Jones yang bermain malam ini (Jumaat.
“Mereka baru kembali daripada kecederaan panjang, saya rasa kami masih ada masa, di final nanti kami akan datang dengan pasukan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang TFC itu.
Dalam aksi itu, KL City meraih tiga gol menerusi Giancarlo Gallifuoco di minit 36, diikuti Paulo Josue (m-41) dan Romel Morales (m-45).
Gol pelawat pula disumbangkan oleh Omid Nazari di minit 28, Norhakim Hassan (m-50) dan Ivan Mamut (m-59).
Dalam pada itu, Hodak mendedahkan padang latihan yang tidak tetap menjadi punca pemain mudah cedera selain memerlukan peruntukan tambahan bagi menyenaraikan beberapa pemain baharu untuk mengejar kelompok pasukan teratas Liga Super.
Katanya, bagi merealisasikan misi itu pasukan memerlukan satu venue latihan yang tetap bagi mengelakkan risiko kecederaan pemain akibat berlatih di padang-padang yang berbeza.
“Masih awal untuk mengejar (kelompok atas Liga Super) tetapi jika kita mempunyai bajet, mungkin akan tukar satu atau dua pemain.
“Malah jika kita ada padang latihan sendiri mungkin akan dapat mengelakkan kecederaan pemain,” katanya.
Mamut bikin panas
Dalam pada itu jurulatih TFC) Tomislav Steinbruckner bengang dengan tindakan pemainnya, Ivan Mamut yang mencetuskan insiden buruk dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat.
Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras itu, menyaksikan TFC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 3-3 selepas berakhir 90 minit permainan.
Jurulatih dari Croatia itu nyata terkejut dengan tindakan Mamut yang bergaduh dengan rakan sepasukan selain turut bertekak dengan pemain lawan sejurus tamat perlawanan tersebut.
Tegasnya, Mamut perlu bijak mengawal diri biarpun mungkin penyerang itu agak kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan meraih kemenangan.
“Saya sangat marah dengan dia (Ivan Mamut) sebab dalam perlawanan menentang JDT (Johor Darul Ta'zim) sebelum ini dia dapat kad merah.
“Saya boleh faham tindakan dia kerana mungkin berasa kecewa apabila terlepas beberapa peluang menjaringkan gol, namun tidak sepatutnya melakukan itu.
“Dia tidak boleh bersikap begitu lebih-lebih lagi aksi sudah tamat. Dia perlu jadi lebih bijak. Saya juga dapat tahu bahawa dia ada mendengar konfrontasi daripada pemain lawan jadi mungkin disebabkan itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut
Dalam perlawanan tersebut, KL City memperoleh tiga jaringan menerusi Giancarlo
Gallifuoco pada minit ke-36, disusuli gol Paulo Josue (m-41) dan Romel Morales (m-45).
Gol skuad Peteh pula hasil sumbangan Omid Nazari pada minit ke-28, Norhakim Hassan (m-50) dan Mamut (m-59).
Steinbruckner turut menjelaskan enggan terus menegur pemain itu selepas tamat perlawanan bagi mengelak situasi bertambah tegang, sebaliknya akan berbincang dengannya apabila keadaan sudah reda.
“Saya tidak terus bercakap (dengan Mamut) selepas permainan tamat kerana risau akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang salah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!