KBS tekad perkasa atlet wanita selepas bersara
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti langkah terbaik bagi memperkasa ekosistem sukan di negara ini khususnya bagi membantu golongan atlet wanita mempunyai masa depan lebih baik selepas bersara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau percaya lebih ramai jurulatih daripada kalangan wanita akan dilahirkan jika ekosistem itu mampu dipertingkatkan.
Menurutnya, satu sesi libat urus bersama atlet wanita akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendengar luahan mereka tentang cabaran dan halangan yang dihadapi ketika ini.
"Kalau lihat ekosistem sukan di Malaysia kurang beri penekanan untuk bantu atlet wanita lebih cemerlang selepas sukan (bersara).
"Walaupun ada peluang pekerjaan sebagai jurulatih namun kalau sokongan infrastruktur seperti penjagaan anak tidak wujud kita tak dapat lahirkan jurulatih wanita.
"Jadi, saya akan adakan town hall kerana dalam lawatan kita ke Jepun nak perkasakan wanita dalam sukan. Dalam town hall kita nak dengar sendiri daripada golongan wanita terlibat cabaran dan halangan untuk mereka berkecimpung dalam karier sukan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Allianz Movefoward di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya sedang memperincikan tawaran menarik kepada pihak swasta seperti pengecualian cukai atau insentif baharu dalam usaha membantu bekas atlet negara mendapatkan pekerjaan.
"Ketika ini KBS sedang memperhalusi inisiatif oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memberikan insentif cukai kepada syarikat swasta mereka yang mengaji atlet kita.
"KBS dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memutuskan agar insentif itu betul-betul menarik bagi pihak swasta. Jika tidak, pengumuman yang akan dibuat kerajaan selepas itu tidak mendatangkan apa-apa hasil.
"Apa yang boleh saya katakan, KBS dalam perancangan terakhir berkenaan isu tersebut dengan Kementerian Kewangan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!