Sembilan maut dalam keganasan pilihan raya di India
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan ramai lagi cedera pada Sabtu ketika keganasan menjejaskan pilihan raya luar bandar yang sedang berlangsung di negeri Bengal Barat di timur India, kata pegawai, lapor Xinhua.
Mereka yang terbunuh dikenal pasti sebagai lima anggota parti Kongres Trinamool yang memerintah Bengal Barat, seorang pekerja masing-masing dari Parti Bharatiya Janata, Parti Komunis India dan Kongres Kebangsaan India serta seorang penyokong calon Bebas.
Sejak pilihan raya diumumkan di negeri itu pada 8 Jun, insiden keganasan dan pembunuhan dilaporkan di seluruh negeri.
Parti-parti politik saling menyalahkan antara satu sama lain atas keganasan itu.
Gabenor Bengal Barat C.V. Ananda Bose pada Sabtu mengutuk keganasan yang meluas di tengah-tengah pengundian yang sedang berlangsung.
Laporan mengatakan pihak berkuasa telah mengerahkan kontinjen besar anggota separa tentera dan polis untuk memastikan pengundian yang bebas dan adil serta mengekalkan undang-undang dan ketenteraman.
Pengundian akan dijalankan dalam satu fasa dan pengiraan undi dijadualkan pada 11 Julai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!