Guan Eng dakwa kenyataan diputar belit
SHAH ALAM - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Bekas menteri kewangan itu berkata, ucapan beliau dalam bahasa Mandarin diputarbelitkan bahawa terdapat pihak yang mahu merobohkan tokong Buddha atau Cina itu.
"Saya kesal kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab sengaja memutar-belitkan ucapan dan menggambarkan sentimen perkauman agama serta kaum.
"Langsung tidak terlintas difikiran saya untuk menggunakan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja bagi meraih undi.
"Ini kerana saya yakin ia hanya akan memudaratkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di dalam negara," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Sabtu.
Berikutan itu, Guan Eng berharap semua pihak akan menjunjung Keluhuran Perlembagaan kerana dengan jelas menyatakan Islam sebagai agama rasmi.
"Selain penganut agama lain bebas mempraktikkan kepercayaan mereka dengan selamat dan aman di mana-mana negeri dalam persekutuan," ujarnya.
Sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.
Beliau mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!