Sedia kongsi idea, Tun M dakwa tiada PM selepas beliau tampil
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia berkongsi idea dengan setiap perdana menteri selepas pentadbirannya, namun mendakwa tiada siapa yang tampil menemuinya.
Malah menurutnya, ada seorang penggantinya tidak pernah bertanya pendapatnya sejurus mengetuai kerajaan.
"Saya dulu ingat bila Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) jadi perdana menteri, dia hendak tanya saya. Tapi tidak pernah tanya.
"Najib (Datuk Seri Najib Razak) pula saya cakap dekat dia tak payahlah bagi duit, dia kata cash is king, tak mahu dengar.
"Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pula, dia ada story (untold),” katanya ketika sidang media Bicara Bangsa Tanah Aku Dulu, Kini, Ke Hadapan di sini pada Sabtu.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Proklamasi Orang Melayu berkata, beliau mampu menyumbangkan idea dan kaedah sahaja.
Katanya, pelaksanaannya perlu dibuat oleh kerajaan sendiri kerana tidak guna jika idea diberikan, namun kerajaan tidak tahu cara yang betul untuk menggerakkannya.
"Saya mempunyai pengalaman selama 80 tahun (politik), jadi saya boleh sumbangkan idea jika ada yang sudi tahu," ujarnya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan, jika orang Melayu mahu nasib mereka terus terbela, kerajaan wajar ditukar pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Berikutan itu, beliau menggesa rakyat tidak memilih pemimpin yang tidak tahu selesaikan masalah ekonomi, politik dan sosial mereka.
"Pilihlah pemimpin yang boleh selesaikan masalah, bukan yang setiap hari memberi ucapan sahaja tetapi tiada tindakan diambil.
"Sekarang masalah ini dihadapi oleh orang Melayu dan cuma orang Melayu sahaja boleh selesaikannya," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tun M saran guna khidmat pakar atasi penyusutan ringgit
'Salahkah saya kata Malaysia adalah Tanah Melayu?' - Tun M
DAP mahu jadikan Malaysia negara berbagai kaum, sekular - Tun M
Tun M ajak Melayu bersatu lawan musuh ada agenda tersirat - Azmin
'Ada orang nak melabur RM500 bilion di Pulau Langkawi jumpa saya'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!