Tidak tuntut dua kerusi DUN Selangor - Azhari

Azhari
Azhari
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Shah Alam menerima keputusan pucuk pimpinan parti untuk tidak menuntut dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Anggerik dan Batu Tiga.

Memetik laporan UMNO Online, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, keputusan tersebut dibuat atas semangat Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, beliau terbuka menerima keputusan parti untuk memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang bakal bertanding bagi kedua-dua kerusi tersebut.

“Kita akan membantu kempen bagi individu yang bakal bertanding bagi kedua-dua DUN tersebut dan akan memastikan kerusi berkenaan dimenangi oleh calon Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN) dan PH,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Kota Anggerik dimenangi oleh Najwan Halimi daripada Parti Keadilan Rakyat dengan meraih undi sebanyak 26,947 manakala Batu Tiga pula dimenangi oleh Rodziah Ismail daripada parti sama dengan jumlah undi 27,638.

Mengulas lanjut, Azhari turut berkata, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam juga menitip pesanan supaya pihaknya terus berkempen bagi menarik sokongan ahli untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sebelum ini parti pernah bekerjasama dengan Pas untuk beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU14 dan mampu memenangi beberapa kerusi.

Jelasnya, beliau yakin gabungan bersama PH untuk mendepani PRN akan datang.

“Saya yakin ahli UMNO di Shah Alam dan di luar Parlimen ini bersikap inklusif dengan perjuangan parti dan akan memenangkan kawan yang sealiran dengannya,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!