Pengaruh Islam dalam sastera Barat

Dari kiri: Abu Nawas, Ibnu Batutah dan Nizami
Dari kiri: Abu Nawas, Ibnu Batutah dan Nizami
A
A
A

KITA sering berwacana dengan pengaruh Barat terhadap sastera Timur, termasuk di negara Islam.

Barat mempunyai kekuatan dalam keilmuan sastera dan memiliki sejumlah karya yang sangat berpengaruh di negara Timur, khasnya Islam.

Dominasi dan hegemoni Barat itu berlanjutan dari zaman ke zaman. Sekian lama kita terpenjara dalam belengguan Barat.

Sejak zaman Bani Abasiyah banyak sekali keilmuan sastera, terutamanya teori sastera Plato dan Aristotle mengalir ke dalam peradaban Islam.

Al-Jahiz menggagaskan, seandai tiada belajar daripada tamadun luar itu, sastera Islam hanya akan terkurung di benuanya.

Justeru itu lahirlah karya dan kritikan yang membawa gagasan dan pengaruh sastera Greek dan Roman.

Bagaimanapun kita harus sedar, ada waktunya Barat juga berhutang dengan penulisan dan karya-karya Islam.

Dalam kalangan penulis Abasiyah itu, ada karya yang menarik perhatian Barat.

Nizami menghasilkan teks tersohor Laila wa Majnun, menceritakan percintaan yang terhalang oleh darjat kekeluargaan sehingga keduanya terpisah bertahun-tahun di kesunyian gurun.

Karya Nizami itu pada kurun ke-18, telah diparodi oleh pengarang-pengarang Barat, kerana tertarik dengan kisah percintaan luar biasa itu.

Malah, banyak filem yang mengadaptasi kisah percintaan Laila wa Majnun.

Begitu juga Barat belajar menghasilkan karya yang berepisodik seperti kisah Seribu Satu Malam. Episod Ali Baba dengan 40 Pencuri dan kisah Pelayaran Aladin sangat popular.

Genre ini berasal daripada satu cerita berkembang kepada banyak cerita.

Cerita yang menjadi pokoknya dinamakan sebagai bingkai.

Karya Barat yang memiliki banyak plot, subplot dan bersifat juktaposisi, belajar daripada khazanah sastera Abasiyah itu.

Dalam sastera Melayu klasik terkenal dengan nama Hikayat Berbingkai.

Selain Nizami, Abu al-’Ala al-Ma’arri juga menjadi idola pengarang Barat, dalam genre puisi pula.

Persoalan dan subjeknya melekat pada corak kehidupan zamannya, yang penuh dengan perasaan pesimis dan skeptis.

Subjektivitinya selari dan paralel dengan sastera Barat yang sarat dengan rasa melankolik dan melodramatik.

Zaman itu sebenarnya dikuasai oleh aliran romantisisme.

Pengarang ternama

Begitulah apabila kerajaan Islam telah menjadi kuat, dan melahirkan ramai pengarang. Bani Abasiyah mencatat 44 pengarang ternama dan 12 orang adalah yang dinobatkan sebagai agung dan unggul, di antaranya ialah Fardausi, Rumi, Sa’adi, Nizami, Jami, Anwari, Hafiz, Attar, Abi Hanifah, Ibnu al-Muqaffa, Basyar dan Abu Nawas.

Misalnya, Attar Nisyaburi menghasilkan Mantiq al-Taiyir, sebuah alegori pencarian spiritual, gabungan 4,600 puisi. Disatirakan para burung ingin mengunjungi Simurq, lambang burung ketiga puluh sebagai kebenaran Ilahi.

Teks ini dikategorikan sebagai karya perjalanan dan pengembaraan.

Attar Nisyaburi sangat dihormati oleh penulis Barat, atas kejayaan mencitrakan keajaiban pengembaraan para burung-burung itu.

Barat telah mengambil dan meminjamnya sebagai induk karya perjalanan.

Pada zaman Renaisanse sangat terkenal dengan teks-teks pengembaraan atau eksplorasi ke sesebuah penempatan baharu.

Barat mengakui bahawa citra perjalanan yang melekat pada sejarah dan bersistematis dimulai oleh Ibn Jubayr (1145–1214) dan Ibnu Batuttah (1304–1377).

Buku Rihlah Ibnu Batutah (1355) adalah teks fenomenal yang berisi laporan perjalanan mengelilingi dunia selama 30 tahun yang dilakukan oleh Ibnu Batutah sendirian.

Beliau seorang musafir muslim Morocco (Maghribi) pada abad pertengahan, sejauh 120,000 kilometer (km) merentas 44 negara, mengalahkan musafir China Zheng He 50,000km dan Marco Polo 24,000km.

Beliau dikagumi atas daya ekspresi dan naratifnya, yang menjadi rujukan di dunia Barat dan Timur.

Sejarah perjalanan kemudiannya ialah Christopher Columbus meneroka Amerika pada 1496, John Cabot menjelajah dunia baru (1497), Vasco da Gama ke India (1499) dan John Mandevill ke negara Timur (1550), dikatakan adalah ilham pengembara-pengembara Islam itu, yang memiliki pengaruh besar mendorong Barat melakukan perjalanan.

Banyaklah karya sastera yang merakamkan perjalanan itu dengan meminjam metode perjalanan karya Islam.

Sesungguhnya perjalanan itu membuka mata Barat, ada dunia lain dan budaya lain, yang lebih bertamadun, akhirnya mereka menjadi tamak dan menyerang negara-negara lain itu.

Karya Islam

Dramatis agung Barat, Shakespeare, pun dikatakan pernah mendapat pengaruh karya Islam.

Dibuktikan tidak ada penulis Barat yang sangat terpengaruh terhadap sastera Arab selain Shakespeare, yang telah membaca dan meneliti perkembangan sastera Islam itu.

Watak Putera Moroko dalam drama “The Merchant of Venice” adalah watak parodi Sultan Ahmed al-Mansur yang sangat besar dan hebat dalam tradisi kerajaan Islam.

Watak ini telah dieksistensi dan dimodifikasi oleh Shakespare dalam drama-drama lainnya.

Suatu lagi petanda, Barat merasa kekaguman terhadap karya Islam ialah karya Dante Alighiere. Bukan di luar pengetahuan sejarah, bahawa Dante Alighiere banyak belajar daripada karya Ibnu Arabi. Sebahagian besar puisi Dante Alighiere mendapat kesan dan pengaruh tulisan Ibnu Arabi itu.

Puisi Ibnu Arabi The Treasures of the Davoted, mempuyanyi kaitan dengan Dolce Still Nuovo dan Convicio karya Dante.

Ibnu Arabi ialah filosof terkemuka abad 13, banyak menghasilkan buku kajian kesufian, tetapi sangat terkenal sebagai penyair, Tarjuman al-Asywag adalah teks kumpulan puisinya yang membawa kisah percintaan para sufi.

Selain puisi itu, Kitab al-Futuhat al-Makki dan Kitab al-Israk ila Maqam al-Asra, sangat termasyhor sebagai kitab yang menceritakan tentang pembukaan kota Makkah dan kitab perjalanan Israk di malam hari yang sangat mulia.

Dante sebenarnya mendapat ilham daripada teks-teks sastera Islam itu.

Perjalanan wataknya menyusuri neraka dan syurga serta menuju kepada ALLAH adalah intertekstual deskripsi Ibnu Arabi. Begitu juga perjalanan Israk dan Mikraj Ibnu Arabi mempengaruhi karya Dante.

The Divine Comedy, puisi naratif yang ditulis oleh Dante Alighieri sejak 1308, dan diterbitkan pada 1320, menggambarkan peristiwa kehidupan setelah kematian.

Puisi naratifnya itu telah menggoncang dunia, diterima sebagai salah sebuah teks maha karya.

Beberapa contoh di atas, telah ditunjukkan bukti dan dalil, bahawa negara Barat juga berhutang sejarah dengan negara Islam.

Sebenarnya dalam konteks yang lain, dalam keilmuan ekonomi, sains, perubatan dan peperangan, Barat juga banyak mengambil daripada Islam.

Namun, kita jangan lupa, apabila Barat menguasai ilmu sastera, dan dengan penghasilan karya istimewa, negara Timur dan negara Islam pula mengambilnya daripada Barat.

Dalam zaman kuasa Barat itu, mereka mengalirkan kekuatan sasteranya untuk dianuti oleh negara Timur, terutamanya negara pascakolonialnya.

Genre cerpen, novel, sajak dan drama adalah rahimnya dari Barat. Begitu juga ilmu teori, kritikan dan kajian sastera bermuara daripada Barat.

Roda sejarah dan pusingannya itu menyedarkan kita, bahawa kita harus membina kerajaan sastera yang kuat. Menulis karya sastera yang unggul dan memiliki tradisi kritikan yang unggul.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!