UiTM bawa misi besar ke Johor

Dzulkarnain
Dzulkarnain
A
A
A

PENYANDANG juara Universiti Teknologi MARA (UiTM) optimis mempertahankan kejuaraan Kejohanan Golf Universiti Awam 2023 yang akan menyingkap tirai di Johor pada 12 dan 13 Julai ini.

Malah, kapten UiTM, Dzulkarnain Mazlan menyifatkan kontinjen itu juga berada di landasan terbaik untuk mencipta rekod pasukan pertama merangkul kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.

Sebagai rekod, UiTM merupakan juara tiga kali berturut-turut selepas menjuarai edisi ke-49 di Pahang tahun lalu.

"Saya akui ia juga misi sukar apabila tanpa beberapa pemain yang telah pun bersara wajib. Namun bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kontinjen UiTM meneruskan momentum edisi Pahang sebelum ini.

"Kehadiran beberapa pemain baharu bagi edisi ke-50 ini, saya percaya mampu menghasilkan keputusan positif sekali gus mengekalkan kejuaraan yang dimenangi sejak edisi 2007 hingga 2009.

“Kami telah menyusun strategi ampuh apabila mempertaruhkan pemain-pemain terbaik mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain yang telah bersara sekalipun sebahagian mereka merupakan pemain rookie bagi UiTM,” kata Dzulkarnain.

Sebagai rekod, kejohanan bakal berlangsung di Kelab Golf Forest City, Gelang Patah dan Kelab Golf Horizon Hills, dalam edisi yang menyaksikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan tuan rumah.

Dalam pada itu, biarpun berstatus penyandang juara, Dzulkarnain mengakui UiTM tidak memandang mudah kemampuan semua pasukan bertanding yang pastinya berhasrat merangkul kejuaraan kali ini.

“Lapangan di Johor sama sekali berbeza dengan lapangan di Pahang, namun setiap pemain golf pastinya mampu untuk mengadaptasi permainan masing-masing pada hari kejohanan,” ujarnya.

Sebagai rekod, lebih 200 pemain terdiri daripada kakitangan universiti awam seluruh negara bakal menyertai kejohanan dua hari tersebut.

Selain UiTM selaku juara bertahan dan juara tiga kali berturut-turut, tumpuan juga pastinya terarah kepada kontinjen UTM serta beberapa kontinjen lain termasuklah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kejuaraan kali ini mempertaruhkan enam pingat emas yang menjadi rebutan daripada tiga kategori utama iaitu Gross, Net dan VVIP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!