Pengadil ‘bunuh’ rentak permainan - Solari

Kesebelasan utama JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Kesebelasan utama JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

BIARPUN meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Negeri Sembilan FC, 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, namun pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari kecewa dengan tindakan pengadil yang disifatkannya telah ‘membunuh’ rentak permainan.

Solari menegaskan beberapa tindakan pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih pada perlawanan berkenaan yang ‘membenarkan’ permainan dihentikan beberapa kali kali membuatkan perlawanan berlangsung ‘hambar’ di sepanjang 90 minit permainan.

“Saya memang kecewa dengan tindakan pengadil malam ini yang ‘membenarkan’ pasukan lawan untuk ‘membunuh’ rentak keseluruhan perlawanan.

“Saya tidak kecewa dengan pasukan lawan kerana mereka berhak untuk menggunakan apa juga taktikal ketika bermain, tetapi kecewa dengan keputusan pengadil kerana apabila ‘masa perlawanan’ diambil, bermakna wang penonton juga ‘diambil.’

“Pemain juga menyedari perkara ini, tetapi mereka tidak menyuarakannya. Sebagai jurulatih atau ‘ketua’ mereka, saya perlu bertanggungjawab. Semua ketua pun perlu bertanggungjawab apabila berdepan perkara seperti ini,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Solari berkata demikian bagi mengulas berhubung tindakan pengadil perlawanan yang dilihat beberapa kali menghentikan perlawanan selain membenarkan pegawai pasukan lawan memasuki padang beberapa kali.

JDT menang 2-0 hasil jaringan pemain pertahanan, Feroz Baharudin pada minit ke-21 diikuti jaringan Leandro Vallaquez pada minit ke-44.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan berkenaan Solari berkata, dia berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan kesebelasan skuad Harimau Selatan itu.

Katanya, biarpun hanya meledak dua jaringan, namun ia sudah cukup memadai untuk memberikan skuad kendaliannya itu tiga mata berharga.

“Kami mampu menjaringkan lebih banyak gol, tetapi rentak perlawanan ini telah ‘diragut’ oleh tindakan pengadil perlawanan.

“Namun, apa yang penting, kami berjaya mempertahankan pintu gol agar tidak dibolosi lawan dan seterusnya berjaya meraih mata berharga di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!