Gol kedua buat Feroz tambah yakin

Feroz - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Feroz - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

TONGGAK pertahanan skuad Johor Darul Ta’zim, Feroz Baharuddin mengakui kejayaan menjaringkan gol keduanya dalam saingan Liga Super musim ini memberikannya keyakinan untuk beraksi.

Menurut Feroz, jaringan berkenaan turut membantunya untuk meningkatkan lagi prestasi setelah pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

“Pertama sekali Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan jaringan kedua saya musim ini..dan ini adalah peluang untuk saya berikan yang terbaik.

“Tambahan pula gol ini merupakan gol yang penting untuk JDT. Apa pun, bagi saya ini adalah kemenangan untuk JDT dan perkara ini sangat membantu untuk mempertingkatkan lagi prestasi saya,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan pada Sabtu.

Feroz menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-21 dan terus beraksi cemerlang bagi membantu kemenangan 2-0 skuad Harimau Selatan itu ke atas Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu.

Satu gol lagi dijaringkan oleh pemain import, Leandro Velazquez.

Untuk rekod, jaringan berkenaan merupakan yang kedua buat Feroz setelah menjaringkan satu gol ketika menewaskan Kedah 6-0 di venue sama, 9 April lalu.

Mengulas mengenai saingan sengit untuk berada dalam senarai kesebelasan utama skuad Harimau Selatan itu, Feroz berkata, dia tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu.

Katanya, apa yang penting adalah untuk terus fokus terhadap diri sendiri dan sentiasa bersedia untuk mengharungi perlawanan.

“First sekali saya memang struggle (bergelut) selepas baik daripada injury (kecederaan) ini dan memang agak risau untuk comeback (beraksi semula).

“Namun, alhamdulillah, jaringan kedua saya ini berikan keyakinan untuk saya bersedia pula untuk perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!