'Tidak akan ada AirAsia tanpa Pahamin' - Fernandes

Laporan Sinar Harian pada Ahad. - Gambar kecil: Fernandes
Laporan Sinar Harian pada Ahad. - Gambar kecil: Fernandes
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Tidak akan ada AirAsia tanpa Datuk Pahamin A Rajab,” kata pengasas bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengenai pemergian pengasas bersama dan bekas pengerusi syarikat penerbangan tambang rendah itu.

"Dengan sangat sedih salah seorang pengasas bersama asal @flyairasia meninggal dunia dalam penerbangan ke London. Tiada AirAsia tanpa Datuk Pahamin. Beliau adalah rakyat Malaysia yang hebat, seorang patriot sejati dan seorang kawan yang baik,” kata Fernandes, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk AirAsia, Capital A Bhd, dalam catatan di Instagramnya.

Beliau berkata, walaupun mereka tidak begitu selalu berjumpa, Pahamin sentiasa berhubung dan seorang penyokong yang hebat.

"Kami akan memberikan penghormatan yang sewajarnya,” kata Fernandes.

Pengerusi Eksekutif Capital A dan seorang lagi pengasas bersama, Kamarudin Meranun, turut menzahirkan ucapan takziah di laman Instagram.

"Dengan rasa yang amat sedih, saya menerima perkhabaran bahawa insan kesayangan kami ibarat bapa, abang, sahabat dan bekas pengerusi AirAsia atau kini dikenali sebagai @flyairasia telah meninggal dunia malam tadi,” katanya.

Pemergian Pahamin telah dikongsi oleh menantunya, pelakon Azhar Sulaiman menerusi hantaran video di Instagram, awal pagi ini.

"Assalamualaikum semua, saya nak maklumkan bapa mentua Datuk Pahamin A Rajab baru meninggal dunia. Beliau baru sampai London, kena serangan jantung dalam penerbangan. Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya, Rees berada di London,” katanya.

Pahamin, 77, pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!