KPKM henti kebergantungan beras import

Azman melihat padi yang ditanam pada Majlis Perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan IADA Kemasin Semerak - Kilang Beras Rajang di Kampung Surau Bator, Jelawat
Azman melihat padi yang ditanam pada Majlis Perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan IADA Kemasin Semerak - Kilang Beras Rajang di Kampung Surau Bator, Jelawat
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berusaha menghentikan kebergantungan beras import dalam negara dalam tempoh dua tahun.

Justeru, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM, Datuk Azman Mahmood berkata, pengeluaran padi perlu dihasilkan antara tujuh hingga 10 tan metrik per hektar untuk setiap musim.

Menurut beliau, antara usaha bagi tujuan ialah program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan yang kini dilaksanakan di seluruh negara.

"Melalui kaedah ini, kita tidak lagi perlu bergantung beras import sebaliknya dapat mengeksport makanan utama ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan IADA Kemasin Semerak - Kilang Beras Rajang di Kampung Surau Bator, Jelawat, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah IADA Kemasin Semerak, Rohani Jusoh.

Azman merasmikan Majlis Perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan IADA Kemasin Semerak - Kilang Beras Rajang di Kampung Surau Bator, Jelawat pada Ahad.
Azman merasmikan Majlis Perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan IADA Kemasin Semerak - Kilang Beras Rajang di Kampung Surau Bator, Jelawat pada Ahad.

Azman memberitahu, kaedah sistematik yang diguna pakai termasuk internet kebendaan (IoT) dan jentanam (transplanter) boleh meningkatkan hasil padi daripada 3.75 metrik tan kepada tujuh metrik tan per hektar.

Kaedah efisien berkenaan katanya mampu menjimatkan penggunaan baja dan racun dan sudah melibatkan 11,000 hektar tanaman padi seluruh negara kecuali Melaka dan Johor.

Beliau juga mahu lebih ramai golongan muda menjadi penanam padi kerana kini terdapat kira-kira 90 peratus penanam berusia 50 tahun ke atas.

Selain itu, Azman turut memaklumkan KPKM akan bekerjasama dengan pakar dari Indonesia untuk memperkenalkan benih padi yang hanya mengambil masa 75 hari untuk dituai.

Jelas beliau, ia dapat menyasarkan tanaman padi sehingga tiga kali setahun sekali gus menambah pendapatan petani daripada RM1,700 kepada RM4,000 semusim.

Sebelum ini jangka masa panjang menyebabkan petani mampu menanam padi dua kali setahun

Program SMART SBB melibatkan sebuah syarikat swasta dapat membantu petani mengatasi masalah penanaman selain bantuan sedia ada yang disalurkan oleh kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kes penukaran beras tempatan kepada kampit beras import untuk menaikkan harga beras.

Perkara itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Jelas beliau, pihaknya memberi fokus kepada 162 kilang komersial yang membeli padi tempatan untuk diproses sebelum dijual.

Azman turut memberitahu, Ops Jamin dilaksanakan KPKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam tempoh sebulan bagi mengatasi kes penyelewengan berkaitan makanan utama itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!