Program Madani Afiat bawa khidmat KKM kepada komuniti - Dr Zaliha
GOMBAK - Inisiatif program Madani Afiat adalah pendekatan kerajaan untuk membawa khidmat Kementerian Kesihatan (KKM) kepada komuniti secara terus dalam usaha meningkatkan kesedaran dan tahap kesihatan rakyat Malaysia.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu adalah bagi mengesan dan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai program seperti saringan kesihatan dari rumah ke rumah, pameran kesihatan dan gotong-royong bersama komuniti setempat.
"Inisiatif Madani Afiat ini kita bersekalikan dengan dua program lagi iaitu Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes dan One Hour Malaysia Clean Up yang kita lancarkan pada hari ini. Ia amat bertepatan dengan apa yang kita mahu laksanakan di bawah program Madani Afiat, iaitu kita merakyatkan KKM.
"Program-program kesedaran sebegini perlu diteruskan kerana akhirnya kita mahu rakyat sihat dan ini juga antara tonggak yang disebut dalam Kertas Putih Kesihatan iaitu mempromosi kesihatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Madani Afiat di Dewan Rakyat Batu Caves pada Ahad.
Beliau berkata, program itu juga merupakan antara usaha KKM dalam mengurangkan jumlah kes kesihatan yang dilaporkan di Selangor khususnya membabitkan penyakit tidak berjangkit dan demam denggi yang semakin meningkat.
Dr Zaliha berkata, hasil data yang diperoleh menerusi aktiviti yang dilaksanakan itu boleh diaplikasi untuk membentuk pelan tindakan yang efektif dan efisyen di masa akan datang, selaras dengan aspek pemantauan dan pengumpulan data yang berkesan seperti dalam Kertas Putih Kesihatan.
Menyentuh mengenai kes kumulatif denggi yang semakin meningkat dalam negara, beliau berkata usaha pencegahan dan kawalan denggi turut diperkasakan melalui penglibatan sukarelawan MyCHAMPION COMBI di seluruh negara sebagai ejen perubahan tingkah laku masyarakat.
"Sehingga Jun 2023, sebanyak 3,320 pasukan sukarelawan MyCHAMPION telah ditubuhkan dengan penyertaan sebanyak 31,065 orang sukarelawan yang terdiri daripada kalangan komuniti di seluruh negara.
"Di Selangor, terdapat 482 lokaliti mempunyai sukarelawan MyCHAMPION COMBI dengan keahlian seramai 4,033 orang. Justeru, saya meminta MyCHAMPION COMBI terus diperkasa agar mereka berperanan sebagai pempengaruh dalam membantu KKM laksanakan aktiviti pencegahan denggi," katanya.
Pada majlis sama, Dr Zaliha bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut merasmikan acara pelepasan 150 jururawat Kolej Kejururawatan Sungai Buloh bagi sesi saringan kesihatan komuniti dari rumah ke rumah di kawasan berhampiran.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai inisiatif Skim Perubatan Madani, Dr Zaliha berkata, program yang telah dimulakan di Gombak, Selangor itu telah memberi manfaat kepada 44,000 penerima.
"Kami juga telah libatkan 27 klinik swasta di sekitar Gombak dan dalam minggu ini kami telah terima seramai 757 penduduk yang telah hadir ke klinik swasta ini.
"Insya-ALLAH, ini adalah projek rintis KKM, jika dalam masa dua ke tiga minggu ini kami dapat lihat kejayaannya, maka kami akan kembangkan lagi inisiatif ini di beberapa buah klinik lain di seluruh negara," katanya.
Skim perubatan Madani adalah satu inisiatif rintis kerajaan melalui KKM bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40 dan fasa rintis skim itu akan dilaksanakan di beberapa daerah antaranya Klang, Hulu Langat dan Gombak, Kinta (Perak), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!