Wang simpanan RM92,540 lebur, terpedaya skim pelaburan
KUANTAN - Seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan berjumlah lebih RM92,000 lebur selepas menjadi mangsa skim pelaburan dalam talian tidak wujud.
Mangsa berusia 52 tahun yang bertugas sebagai kerani nekad menggunakan wang simpanan untuk melabur selepas terpedaya dengan keuntungan lumayan yang dijanjikan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa melayari laman sosial Facebook berkaitan pelaburan itu pada 17 Mac lalu.
Menurutnya, mangsa telah melayari iklan pelaburan itu melalui pautan yang disediakan dan memuat turun aplikasi tersebut.
"Sebelum itu, mangsa turut diajar cara-cara melabur melalui aplikasi pelaburan itu sebelum dia nekad menyertainya.
"Mangsa telah membuat 12 transaksi bayaran melalui empat akaun bank berbeza dalam tempoh empat bulan dengan jumlah pelaburan RM92,540," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.
Yahaya berkata, mangsa menyedari tertipu apabila gagal menerima bayaran keuntungan seperti dijanjikan sebelum tampil membuat laporan di sebuah balai polis di Kuantan pada Sabtu.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan skim pelaburan melalui media sosial.
"Buat semakan terhadap skim pelaburan dijalankan syarikat atau individu sama ada sah atau sebaliknya.
"Semakan boleh dibuat melalui laman web Bank Negara (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!