Pemangku Raja Perlis rasmi Liga Besbol Kebangsaan 2023
PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan perasmian Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Ahad.
Hadir sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (PBM), Sazali Husain.
Tuanku Syed Faizuddin dalam ucapannya bertitah penglibatan masyarakat dalam sukan dapat membentuk budaya cara hidup yang sihat dan membantu membina keyakinan dan keterampilan diri seseorang individu.
“Melalui penglibatan sukan juga, seseorang itu akan didedahkan dengan pelbagai nilai-nilai kehidupan. Dengan menyertai aktiviti sukan yang melibatkan rakan sepasukan dan pertandingan, kita akan merasai pengalaman menang atau kalah serta belajar untuk bekerjasama dan bertoleransi dalam mencapai suatu misi,” titah baginda.
Liga Besbol Kebangsaan 2023 merupakan kali pertama dianjurkan oleh PBM bersama pihak penaja AEON BiG Sdn Bhd, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Liga Besbol itu telah bermula pada 10 Jun lalu dan dijalankan selama enam minggu pada setiap Sabtu dan Ahad yang disertai 184 peserta berusia 20 hingga 30 tahun dari lapan negeri iaitu Perlis, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Sementara itu, Hannah berkata, KBS sedia komited untuk menyalurkan platform untuk membawa sukan besbol ke peringkat yang lebih membanggakan di tanah air.
“Penganjuran Kejohanan Liga Besbol Kebangsaan 2023 ini telah membuka peluang kepada atlet-atlet muda menunjukkan bakat mereka dan sekali gus mampu menjadi medan pemilihan atlet bagi mewakili negara ke kejohanan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, penglibatan syarikatnya dalam liga besbol sebagai rakan strategik adalah sebagai memberi manfaat kepada komuniti menerusi sukan di negara ini.
“Objektif (kami) nak beri semula kepada komuniti. Besbol antara sukan yang boleh dibangunkan lagi di Malaysia, sebab tu kami jadi rakan strategik, Liga Besbol Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!