FAMA sasar jualan RM7 juta di Malaysia Fest Singapura

Aminuddin (kiri) mengiringi Foon Hin (dua dari kanan) ketika merasmikan penutup Penang Fama Fest 2023 di pusat membeli-belah Bukit Jambul pada Ahad. - Foto Bernama
Aminuddin (kiri) mengiringi Foon Hin (dua dari kanan) ketika merasmikan penutup Penang Fama Fest 2023 di pusat membeli-belah Bukit Jambul pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan lebih RM7 juta membabitkan 124 usahawan dari seluruh negara yang menyertai Malaysia Fest di Singapura bermula 27 hingga 30 Julai ini.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, ekspo yang menawarkan pelbagai produk segar dari Malaysia itu sentiasa mendapat sambutan warga Singapura.

"Usahawan kita yang menyertai ekspo itu akan mempromosi dan memasarkan produk melambangkan negeri-negeri di negara ini termasuk juga destinasi pelancongan serta kraftangan.

"Antaranya ialah produk usahawan dari Pulau Pinang iaitu jeruk madu Pak Ali, belacan, kopi Hang Tuah, songkok dan tarbus manakala Terengganu pula menampilkan produk keropok lekor serta banyak lagi dari negeri-negeri lain yang masing-masing menawarkan produk mereka.

"Ada dalam kalangan usahawan ini pernah menyertai ekspo tersebut dan mempunyai peminat tersendiri di sana malah kita juga membawa usahawan-usahawan baharu untuk mereka kembangkan perniagaan di sana. Ini adalah peluang untuk mengeksport produk ke luar negara," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis penutupan Pulau Pinang FAMA Fest 2023 di Kompleks Bukit Jambul, dekat sini oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin.

Aminuddin berkata, selain sasaran jualan sebanyak RM7 juta, pihaknya juga mahu melakukan padanan perniagaan yang bernilai RM3.5 juta membabitkan usahawan yang terlibat dalam ekspo tersebut.

"Kebanyakan usahawan yang pernah menyertai ekspo itu mempunyai 'business link' dengan syarikat-syarikat di luar negara dan kita harap menerusi penyertaan itu nanti akan lebih banyak padanan perniagaan dapat dibuat dalam usaha memperluaskan produk masing-masing," katanya.

Sementara itu, Foong Hin berkata, KPKM menyokong penuh usaha FAMA yang membantu memasarkan produk-produk untuk usahawan dan ekspo tersebut juga di antara peluang produk tempatan diperkenalkan di luar negara.

"Seperti di dalam negara, FAMA memperkenalkan FAMA Fest dan di Pulau Pinang sendiri hari ini adalah hari terakhir selepas berlangsung selama tiga hari. Ini boleh merancakkan industri Agromakanan Negara dan dalam masa sama membantu orang ramai mendapatkan bekalan makanan dengan harga lebih murah.

"Pulau Pinang FAMA Fest 2023 ini merupakan acara tahunan dan pada kali ini sasaran nilai jualan ialah sebanyak RM700,000 dengan penglibatan seramai 60 usahawan, dan menyasarkan 60,000 pengunjung," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!