Selenggara, naik taraf sekolah daif keutamaan KPM - Fadhlina

Fadhlina ketika bertemu pemberita selepas Perasmian Penutup Pertandingan Inovasi dan Robotik Peringkat Kebangsaan 2023 (INORO'23) di Dewan Kolej Vokasional pada Ahad. - Foto Bernama
Fadhlina ketika bertemu pemberita selepas Perasmian Penutup Pertandingan Inovasi dan Robotik Peringkat Kebangsaan 2023 (INORO'23) di Dewan Kolej Vokasional pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KULIM - Penyelenggaraan dan baik pulih sekolah-sekolah daif di seluruh negara termasuk enam sekolah di negeri ini menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, semua projek-projek baik pulih sekolah daif akan dipantau dan perkembangannya akan dimaklumkan dari masa ke masa.

"Saya ingat itu memang dalam perancangan kita dan kita mengambil perhatian khususnya tumpuan kita dalam konteks sekolah daif dan insya-ALLAH dari masa ke masa kita pantau projek ini.

Kita akan maklumkan perkembangan berkenaan enam sekolah daif (di Kedah) ini dari semasa ke semasa. Sekolah tersebut antaranya ada di Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Baling dan Sik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pertandingan Inovasi dan Robotik (Inoro) Peringkat Kebangsaan (2023) pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibahim pada Sabtu, berkenaan peruntukan untuk membaik pulih sekolah daif di Kedah.

Dalam majlis ramah mesra bersama warga masyarakat Daerah Kubang Pasu di Changlun, Anwar berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 di Kedah, sebanyak RM10.1 juta diperuntukkan bagi pembaikan 40 klinik dan enam sekolah daif.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Othman Warijo ketika dihubungi berkata, untuk tahun ini sebanyak 38 projek di bawah peruntukan Klinik Daif sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, projek yang melibatkan 31 Klinik Kesihatan dan tujuh Klinik Desa itu sedang dalam fasa pelaksanaan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM7.85 juta.

"..untuk Kedah bagi tahun 2023, dalam senarai yang diluluskan dan sedang dilaksanakan adalah 38 projek (klinik). Peruntukan untuk pembaikan klinik-klinik ini sudah pastinya dapat menambah baik aspek keselamatan, keselesaan, kemudahan dan perkhidmatan kita kepada orang ramai terutamanya untuk rakyat Kedah,” katanya.

Beliau berkata, ia juga dapat menjadi pembakar semangat kepada warga kesihatan untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!