Pahang tundukkan Selangor 1-0
SRI Pahang FC meraih tiga mata penuh selepas menundukkan Selangor FC dengan jaringan 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini pada Ahad.
Pemain import, Kevin Langbehn Ingreso muncul wira apabila jaringan tunggal pada minit ke-50 babak kedua meletakkan Pahang terus mendahului hingga tamat perlawanan.
Ketinggalan di belakang Pahang, Selangor menggandakan asakkan namun gagal menemui titik penyudah untuk gol penyamaan.
Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari gol awal melalui beberapa peluang keemasan namun gagal menjaringkan sebarang gol.
Peluang Pahang muncul pada minit keenam babak pertama apabila mendapat sepakan percuma selepas penyerang, Kpah Sean Sherman dijatuhkan namun sepakan yang diambil Stefano Brundo hanya melewati palang gol Red Giants.
Selangor hampir menjaringkan gol hasil percubaan Faisal Halim tetapi tendangan penyerang Selangor itu berjaya ditepis penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-15.
Berselang empat minit, pemain berjersi 70, Selangor, Ayron Rodriguez mendapat peluang namun dikesan berada pada kedudukan offside.
Kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk gol awal namun terpaksa akur apabila terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Kemasukan dua pemain import baharu, Ruziev Kovendik dari Uzbekistan dan Rafael Silva dari Brazil turut membantu merealisasikan misi Pahang mengutip tiga mata di halaman sendiri pada perlawanan yang berlangsung di sebelah petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!