Isu 3R: Polis siasat Guan Eng
SHAH ALAM - Pengerusi DAP Lim Guan Eng disiasat berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman dalam sebuah program di Pulau Pinang pada Jumaat lalu.
Timbalan Pengarah (Forensik dan Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk G Suresh Kumar berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima beberapa laporan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP itu.
"Polis telah menerima laporan berkaitan kenyataan Guan Eng yang didakwa menyentuh isu 3R iaitu 'gelombang hijau' bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
"Kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu dipercayai dikeluarkan beliau ketika berucap dalam program 'Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023' di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang, 7 Julai lalu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
"Masyarakat diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya.
Jumaat lalu, portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.
Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.
Kenyataan tersebut turut dikecam beberapa pemimpin termasuk Ketua Pemuda UMNODr Muhamad Akmal Saleh yang meminta agar pihak polis menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
Guan Eng bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut dan mendakwa ia telah diputar belit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!