Bayi 39 hari mati mengejut
GUA MUSANG - Seorang bayi lelaki berusia 39 hari meninggal dunia akibat paru-paru berdarah di Hospital Gua Musang, di sini, pada Ahad.
Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia pada jam 7.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata,siasatan awal polis mendapati bayi itu terlebih dahulu didapati tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah itu.
Menurut beliau, sebaik menyedari keadaan itu, bapa bayi tersebut membawa anaknya ke hospital.
“Bayi itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mayat diserahkan kepada pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk dijalankan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pihak polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian iaitu di rumah keluarga bayi berkenaan.
“Siasatan pihak mendapati bahawa tidak ada unsur-unsur jenayah ke atas kematiannya.
“Hasil bedah siasat oleh Pegawai Perubatan Forensik yang diperolehi, sebab kematian ialah pulmonary haemorrhage (paru-paru berdarah),” ujar Choon Foo.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Pihak polis juga mengingatkan supaya tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga itu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!