'Wan Saiful bercita-cita jadi KM Pulau Pinang' - Nie Ching

Tangkap layar kenyataan Nie Ching di Facebook beliau pada Ahad.
Tangkap layar kenyataan Nie Ching di Facebook beliau pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching mendakwa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bercita-cita untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Saya diberitahu ramai orang bahawa Wan Saiful sendiri bercita-cita mahu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Begitu tinggi sekali harapan dan keyakinan beliau itu. Kita ingin tahu juga adakah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membenarkan beliau menjadi Ketua Menteri, atau adakah Wan Saiful perlu terlebih dahulu menyertai Gerakan?

"Malah, adakah Gerakan akan sanggup membenarkan Wan Saiful menyertai Gerakan dan menjadi seorang pemimpin parti?," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian didakwa bagi memulangkan paku buah keras kepada Wan Saiful yang dilihat cuba mencampuri urusan partinya.

"Comel betul cubaan Wan Saiful Wan Jan untuk berlagak tahu tentang politik dalaman DAP," ujarnya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor pada Sabtu dilaporkan berkata, ada khabar mengatakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim akan bertanding pada PRN Pulau Pinang dalam usaha menggantikan Chow Kon Yeow kerana 'gagal memimpin negeri'.

Mengulas lanjut, Nie Ching mendakwa Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang sebenarnya tiada modal lain selain menawarkan politik mengganggu dan politik buat kacau kepada rakyat Pulau Pinang khususnya.

"Rekod DAP-PH sejak 2008 begitu sukar untuk dicabar. Mereka patut beritahu kita, siapakah sebenarnya calon mereka sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang? Adakah benar Wan Saiful calonnya?," soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!