Tiada 'pilih kasih' laluan LTdL 2023
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tetap berpegang teguh kepada prinsip ‘sukan tanpa fahaman politik’ termasuk dalam penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS telah menyerahkan tanggungjawab kepada Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur dalam menentukan laluan setiap peringkat LTdL 2023.
“Seperti yang saya maklumkan pada pelancancaran LTdL 2023, pemilihan laluan kali ini merentasi 11 negeri (di Semenanjung Malaysia) tanpa mengira fahaman dan batasan politik.
“Perlumbaan LTdL tahun ini akan bermula di Terengganu (negeri di bawah pentadbiran pembangkang), jadi tiada isu kita (KBS) tidak boleh bekerja dengan pihak pembangkang.
“KBS tidak masuk campur dalam menentukan laluan LTdL tahun ini. Jawatankuasa (penganjur LTdL 2023) telah membuat pertimbangan Terengganu sebagai laluan peringkat pertama.
“Malah, kerajaan Terengganu telah memberi maklum balas dengan pantas kepada MSN. Jadi memang sesuai kita mulakan di Terengganu,” katanya ketika ditemui Sukan Sinar di Menara KBS, Putrajaya baru-baru ini.
LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-27 tahun ini dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan dengan lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,280.3 kilometer (km).
Mengikut jadual, Kerteh, Terengganu akan menjadi lokasi pembuka tirai peringkat pertama LTdL 2023 sebelum berakhir peringkat kelapan di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Pulau Langkawi tidak berada dalam senarai laluan LTdL 2023, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai khususnya peminat sukan berbasikal.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, KBS sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pembangkang dalam memastikan kelancaran penganjuran LTdL kali ini.
“Sebelum ini, saya telah merasmikan Hari Belia Negara di Kota Bharu, Kelantan. Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2028 juga dijadualkan bakal berlangsung di Kelantan.
“Jadi sudah ada bukti kita boleh bekerjasama dengan pembangkang. Bukti-bukti ini sudah cukup memperlihatkan kita bekerja dengan penuh profesional.
“Dalam pemilihan lokasi (laluan LTdL 2023), ini yang terbaik boleh kita buat dengan kos (RM8 juta) yang ada... tak timbul isu tak boleh kerja dengan pembangkang,” jelasnya.
Ditanya sama ada Langkawi akan kembali menjadi laluan LTdL pada masa akan datang, Hannah menjawab; “Semuanya bergantung kepada kos, tetapi sudah tentu kita mahu LTdL diadakan kembali di Langkawi.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!