Kerugian angkara scammer FB, IG cukup untuk bina hospital

Pengguna seharusnya bijak dan celik dalam memilih platform pembelian dalam talian agar tidak terus menjadi mangsa 'scammer'. - Foto hiasan
Pengguna seharusnya bijak dan celik dalam memilih platform pembelian dalam talian agar tidak terus menjadi mangsa 'scammer'. - Foto hiasan
A
A
A

PENDEDAHAN Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching pada Ahad bahawa kerugian akibat penipuan dalam Facebook (FB) dan Instagram (IG) bagi tempoh 2021 sehingga Jun lalu mencecah RM302 juta cukup mengejutkan.

Bayangkan dalam tempoh cuma setahun setengah, angka kerugian mencapai ratusan juta dan dengan wang sebanyak itu ia dianggarkan cukup untuk membina sebuah hospital bagi kegunaan ramai.

Daripada jumlah itu, Nie Ching berkata, kerugian yang direkodkan menerusi penipuan yang mengguna pakai platform FB ialah sebanyak RM232 juta manakala IG RM70 juta.

Kata Ahli Parlimen Kulai itu, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Meta (FB dan IG) bagi membuktikan bahawa masalah penipuan yang mengguna pakai platform mereka adalah serius.

Trend tersebut menunjukkan pengguna laman sosial di negara ini 'mudah' terpedaya dengan jualan menarik yang dipromosikan melalui platform berkenaan termasuk melibatkan tawaran harga yang tidak masuk akal.

Pengguna juga sanggup menanggung risiko membuat bayaran terlebih dahulu biarpun tidak memperoleh apa-apa jaminan yang sah daripada penjual bahawa barang yang mereka tempah akan diperoleh dengan selamat.

Berbeza dengan platform jualan e-dagang seperti Shopee dan Lazada, bayaran hanya akan dikreditkan kepada penjual oleh pengendali platform jika barang sampai serta pembeli berpuas hati dengan keadaan dan kualiti barangan.

Untuk rekod, kes jenayah penipuan dalam talian bagi tahun 2017 hingga Jun 2022 secara keseluruhannya mencatatkan kerugian lebih RM2.9 bilion membabitkan sebanyak 89,798 kes.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said pada Julai tahun lalu dilaporkan berkata, kes penipuan itu melibatkan Macau Scam, Love Scam, African Scam, Tipu Pinjaman Tidak Wujud, Tipu SMS dan belian dalam talian.

Oleh itu, pengguna seharusnya bijak dan celik dalam memilih platform pembelian dalam talian agar tidak terus menjadi mangsa 'scammer' yang ketika ini ligat menggunakan segala platform untuk mencuri duit.

Jika tiada kesedaran daripada orang ramai untuk lebih berwaspada maka sindiket penipuan dalam talian akan terus bermaharajalela yang akhirnya merugikan pengguna sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!