Mampukah pekerja nikmati hidup selepas bersara?
SHAH ALAM - Lebih 50 peratus daripada penduduk Malaysia merupakan pekerja yang memerlukan satu kehidupan yang berkualiti sepanjang hayat mereka walaupun selepas bersara.
Setiausaha Agung Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), A Karuna berkata, bukan sahaja ketika bekerja tetapi selepas bersara kelak, tidak kira pekerja sektor swasta mahupun awam.
"Persoalannya, adakah rakyat Malaysia terutama golongan pekerja mampu menikmati kehidupan yang lebih baik dan berkualiti selepas mereka bersara?
"Perkara tersebut menjadi semakin signifikan ketika kemerosotan simpanan pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ketiadaan perlindungan pasca persaraan yang cukup dan peningkatan kos sara hidup dengan mendadak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Karuna, bagi mencari satu solusi yang holistik, pihaknya akan menganjurkan forum khas bertemakan “Adakah Rakyat Malaysia Mampu Untuk Menikmati Kehidupan Yang Baik Selepas Bersara" ("Are Malaysians Able To Live A Decent Life After Retirement?").
"Forum yang akan diadakan pada 12 Julai 2023 itu dijangka berlangsung di NUBE House, Jalan Tun Sambanthan 3, Brickfields, Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.
"Ia bertujuan mengupas keadaan semasa dan mengetengahkan syor serta saranan yang bernas kepada pihak berkuasa agar menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada para pekerja," jelasnya.
Tambah beliau, SPCAAM berpandangan negara memerlukan satu mekanisme yang sesuai bagi memastikan akan ada perlindungan lebih baik kepada setiap rakyat selepas mereka bersara.
"Oleh itu, kami akan memberikan pencerahan yang mendalam mengenai situasi semasa dan keperluan jangka panjang demi kebajikan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Penyertaan forum ini adalah percuma serta terbuka kepada semua," jelasnya.
Sehubungan dengan itu, antara ahli panel yang terlibat adalah Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus ;Pengarah Sosioekonomi SPCAAM, Dr Zouhair Rosli ; Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP, Balqais Yusoff dan Pendokong Polisi The Rakyat, Emir Syazwan.
Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Pengarah Komunikasi SPCAAM, Zul Thye di talian 014-7322665 atau e-mel spcaam_hq@spcaam.org.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!