Jangan sembunyi kes buli di sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JUMAAT minggu lalu, negara digemparkan dengan tragedi menyayat hati iaitu seorang abang kandung berusia 14 tahun telah mencekik adiknya yang berusia sembilan tahun sehingga mati.

Kejadian yang berlaku di Kampung Bukit Piatu, Melaka, itu mendapati pelajar Tingkatan Dua itu bertindak demikian selepas dikatakan mengalami gangguan mental akibat daripada dibuli oleh pelajar senior di asrama sejak tahun lalu.

Nampaknya kes buli sehingga hari ini masih lagi belum menemui jalan penyelesaian malah dilihat semakin kerap cerita mengenainya bermain di dada-dada akhbar.

Walaupun sebelum ini pembuli yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman yang dilihat agak berat tetapi ia sedikit pun tidak 'menjentik' hati pembuli-pembuli yang masih berleluasa untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral itu. Bahkan semakin hari ada sahaja video buli tular di media sosial.

Natijahnya, ia bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat sekeliling malah membuka episod baharu dalam permasalahan ini.

Pengajaran yang boleh diambil daripada kejadian yang berlaku adalah, pihak sekolah terutamanya sekolah berasrama di negara ini tidak seharusnya menyembunyikan sebarang kes buli termasuk penderaan dalam kalangan pelajar yang berlaku di sekolah masing-masing bagi mencegah kejadian lebih buruk berlaku.

Pada masa yang sama, ibu bapa juga diminta prihatin dengan perubahan tingkah laku anak masing-masing dan mengambil berat aspek pembelajaran serta hubungan anak dengan rakan di sekolah agar masalah yang dihadapi dapat ditangani di peringkat awal.

Tidak dinafikan, pihak bertanggungjawab telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan dan mencegah perbuatan buli ini daripada terus merebak tetapi nampaknya ia masih tidak berjaya.

Sekiranya kejadian ini tidak dibendung, ia akan berterusan dan menjejaskan ekosistem pendidikan negara.

Oleh yang demikian, diharapkan pihak berkuasa dapat menyegerakan segala tindakan yang perlu diambil dalam usaha membendung masalah buli yang dilihat semakin menjadi-jadi.

Pada masa yang sama juga diharapkan mana-mana pihak tidak berkompromi dengan sebarang bentuk perlakuan buli terutamanya di sekolah yang sepatutnya menjadi kawasan selamat untuk murid menimba ilmu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!