Warga emas maut kemalangan tiga kenderaan
SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 164.8 Jalan Johor Bahru-Seremban (Sawah Baru), pada petang Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, kemalangan tersebut melibatkan dua buah kereta iaitu Proton Myvi, Proton Saga dan satu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Myvi dari arah Chaah menghala ke arah Segamat telah gagal mengawal kereta ketika melalui KM164.8 Jalan Johor Bahru-Seremban (Sawah Baru), hingga masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang kereta Proton Saga.
"Siasatan lanjut mengesahkan lelaki warga emas berusia 75 tahun itu telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Dalam masa sama, pemandu kereta berusia 30 tahun dan seorang lagi pemandu kenderaan pacuan empat roda, tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan melalui talian MERS999 pada jam 1.30 tengah hari.
Katanya, sejurus menerima panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Labis dengan kekuatan seramai 10 anggota telah dihantar ke lokasi.
"Pasukan keluaran operasi (PKO) juga mendapati seorang lelaki warga emas dalam kenderaan Perodua Myvi telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital Segamat," katanya.
Bagaimanapun katanya, mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux iaitu dua lelaki dewasa serta dua perempuan dewasa dan seorang lelaki dewasa dalam Proton Saga didapati tidak tersepit dan tidak mengalami kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!