'Saya sudah mula pelihara ayam telur di kebun' - Muhyiddin
SEREMBAN - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, berdasarkan kajian empirikal yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati, masalah yang paling ketara didepani rakyat adalah kos sara hidup.
"Jawapan yang paling jelas adalah masalah pertama, adalah masalah kos sara hidup, masalah harga makanan yang tidak berhenti-henti, masalah bekalan makanan tak cukup, sampai telur pun tak cukup.
"Saya sudah mula pelihara ayam telur di kebun saya, satu hari 40 biji telur. Saya nak tunjuk boleh selesai masalah kalau kita usahakan sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan, di sini, pada Ahad malam.
Namun, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bukan semua berkemampuan atau mempunyai tanah yang boleh menternak 30 hingga 40 ekor ayam pada satu-satu masa.
Katanya, baru-baru ini ketika meninjau beberapa gerai di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur dan beliau menerima rungutan daripada peniaga mengenai kenaikan harga barang.
"Saya kata (harga barang) mahal, mereka kata semuanya naik, saya tanya apa yang turun, dia kata hujan yang turun.
"Saya tanya harga ayam berapa? RM10 lebih sekilo, zaman saya jadi menteri dulu RM6.40.
"Dia cakap itu zaman Tan Sri dulu, memang naik (tapi) naik (sekarang) RM10 sekilo," ujar beliau lagi. - AWANI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!