[VIDEO] 'Sertai Bersatu bukan keutamaan mahu jadi calon PRN' - Tun Faisal
SEREMBAN - Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tidak menolak sekiranya diberi tanggungjawab untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang baharu mengumumkan menyertai Bersatu bagaimanapun berkata, itu bukan menjadi keutamaannya ketika ini apatah pula mahu melobi bagi mendapatkan kerusi.
"Itu bukan pertimbangan saya. Saya dibuang dari parti, saya nak cari platform yang boleh bawa perjuangan saya dan tak pernah terfikir nak bertanding atau fikir soal kerusi.
"Cuma jika diberi apa-apa tanggungjawab, Insya-ALLAH saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin seperti mana saya pernah diberi tanggungjawab dalam Barisan Nasional (BN) dan kerajaan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di sini pada Ahad.
Bagaimanapun Tun Faisal berkata, beliau mahu mengelak daripada menjadi calon payung terjun kerana percaya di setiap kawasan sudah ada pemimpin dan tokoh tempatan sendiri.
"Saya bukan jenis orang masuk kawasan mengganggu gugat melainkan jika saya benar-benar diperlukan dan mereka rasa ada kemahiran dan kepakaran serta kelebihan saya boleh membantu pengundi dalam kawasan itu.
"Tapi saya tidak menjurus sangat ke arah itu melainkan kalau ada permintaan dari kepimpinan atau orang di kawasan itu," katanya.
Tegasnya, prinsipnya berbeza dengan UMNO yang mengharapkan tempat atau kerusi untuk bertanding apabila memilih untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau mendakwa, UMNO bimbang pada masa akan datang tidak mempunyai banyak kerusi sekiranya memilih bersama PN.
"Sebab itu saya rasa agak marah bila ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO memilih untuk bersama PH.
"Satu mereka melihat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di mana mereka (UMNO) nak bertanding kerana PN ada 73 kerusi majoriti Melayu dan mungkin masa depan mereka (UMNO) dapat kurang kerusi itu," katanya.
Berkenaan pemilihannya menyertai Bersatu, Tun Faisal berkata, beliau percaya Bersatu dan Pas adalah platform terbaik untuk membawa perjuangannya terhadap agama, bangsa dan negara yang kini tidak lagi dibawa oleh UMNO.
"Sama ada Bersatu atau Pas, dua-dua hampir dengan hati saya. Susah nak pilih sebenarnya. Saya ambil masa yang lama dan sebab itu selepas PRU15, sampai sekarang saya susah nak buat keputusan.
"Cuma dua minggu lepas saya nilai semula dan saya rasa kedua-duanya baik. Tapi saya kena ambil kira juga di mana saya boleh main peranan lebih dan sebagai bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, mungkin ada pengalaman dan pengetahuan untuk saya bantu ahli Parlimen di situ Datuk Dr Radzi Jidin yang dari Bersatu,"katanya.
Pada 31 Januari, Sinar Harian melaporkan, Tun Faisal mengumumkan beliau telah dipecat keahliannya dalam UMNO setelah hampir dua tahun digantung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!