Sterling perlukan masa bersinar di Chelsea - Pochettino
PENGENDALI baharu Chelsea, Mauricio Pochettino membuka mulut mengenai Raheem Sterling yang ketika ini masih belum mampu menyerlah sejak berpindah dari Manchester City.
Sterling menyertai Chelsea musim panas lalu dengan kelab London itu membayar £47.5 juta kepada City.
Namun, Sterling gagal memenuhi harapan yang dimahukan pasukan apabila pemain posisi sayap itu hanya menjaringkan sembilan gol dan empat bantuan gol dalam 38 perlawanan untuk The Blues.
Pochettino menilai Sterling memerlukan waktu untuk menyesuaikan diri dengan Chelsea.
"Kita bercakap mengenai pemain yang sangat bagus. Tetapi tidak mudah bagi seorang pemain untuk beradaptasi dengan cepat dan menunjukkan prestasi yang sama seperti di pasukan sebelumnya.
"Semua pemain perlu membantu dan mencari cara dalam sesi latihan dan kemudiannya berlatih. Kita tidak boleh menyalahkan pemain. Kami harus melihat apa yang terjadi dan kenapa.
"Sekarang saya mahu semua pemain membuktikan mereka layak bermain untuk kelab ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!