Lelaki dituduh sebabkan penunggang Ducati maut OKU, sakit mental

A
A
A

AMPANG – [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu lori yang didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin, atas kesalahan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang Ducati bulan lalu, mengaku orang kurang upaya (OKU) dan menerima rawatan sebagai pesakit mental.

Ketika prosiding di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail berkata, anak guamnya, Mudzyadaha Mohammad, 42, telah menerima surat rujukan daripada doktor semasa ditahan di sebuah hospital di Kajang, malah mendapat ubat untuk rawatan psikiatri.

Peguam itu berkata, tertuduh juga merupakan seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sebelum ini, dia kehilangan pekerjaan sebagai pengemudi kereta api kemudian mencari rezeki dengan memandu lori.

“Tekanan perasaannya semakin meruncing selepas terlibat dalam kemalangan, sedangkan dia perlu menyara isteri dan tiga anak berusia 17, 12 dan lapan tahun,” kata peguam itu.

Semasa kejadian Izleen berkata, anak guamnya tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya perlanggaran.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah membenarkan Mudzyadaha menjalani ujian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke mahkamah pada Isnin.
Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke mahkamah pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran tidak membantah perkara tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Amalina mengarahkan tertuduh menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Pada pagi Isnin, Mudzyadaha mengaku tidak bersalah atas tuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) pada jam 1.10 petang, 14 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tidak mengaku lawan arus sebabkan penunggang Ducati maut

Anak penunggang Ducati sedih, marah lihat tertuduh

Penunggang Ducati maut jatuh 'flyover' elak motosikal lawan arus

Penunggang Ducati maut: Suspek lawan arus dakwa tersesat jalan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!