KDA jinakkan PDRM di Petaling Jaya
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) kembali ke landasan kemenangan setelah berjaya menjinakkan PDRM FC, 2-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.
Kemenangan KDA ke atas PDRM secara tidak langsung menebus semula kekalahan 0-1 semasa perlawanan pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 4 Mac lalu.
Skuad Kenari kendalian Nafuzi Zain yang tampil ke laman keramat The Cops dengan misi mengubat kekecewaan tewas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3 Julai lalu bagaimanapun berdepan kekentalan jentera pasukan tuan rumah.
Selain kekentalan barisan benteng pertahanan The Cops yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Perak di Stadium Perak 23 Jun lalu, beberapa peluang dimiliki pasukan pelawat gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan menerusi rangkaian serangan skuad Kenari yang menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, KDA menggandakan asakan bagaimanapun sekali lagi dikecewakan dek ketumpulan penyudahan dalam merobek gawang PDRM.
Usaha KDA memburu gol akhirnya dijelmakan Ifedayo Olusegun apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 selepas bola terkena tangan pemain PDRM.
Gol penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 itu kemudiannya dilabuhkan Lee Tuck yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 selepas dikasari pemain PDRM untuk kedudukan 2-0.
Tiga mata di Kelana Jaya menyaksikan KDA kini berada dalam kelompok empat terbaik carta liga dengan mengumpul 31 mata setelah meraih 10 kemenangan, satu seri dan lima tewas selepas 16 perlawanan.
PDRM pula berada di kedudukan kelapan liga dengan 22 mata selepas mengharungi 16 perlawanan dengan tujuh kemenangan, satu seri dan lapan kalah.
KDA bakal melayan kunjungan Kelantan United di Stadium Darul Aman pada 14 Julai manakala PDRM menanti kunjungan TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 16 Julai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!