Anak penunggang Ducati sedih, marah lihat tertuduh

Muhammad Hafidz
Muhammad Hafidz
A
A
A

AMPANG - Anak sulung penunggang motosikal Ducati, meluahkan perasaan sedih dan marah setelah melihat tertuduh diheret di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan menunggang secara melawan arus, sehingga menyebabkan kematian bapanya, bulan lalu.

Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36, berkata, perasaan itu timbul kerana kemalangan tersebut menyebabkan dia kehilangan seorang bapa.

Anak pertama daripada empat beradik ini menyatakan, tiada perkataan dapat diluah sebaik melihat lelaki terbabit di kandang tertuduh.

“Saya sangat rapat dengan arwah, sebab kami selalu tunggang motosikal untuk riadah dan ke surau bersama-sama, tetapi setelah dia tiada, timbul perasaan kehilangan yang amat dalam.

“Saya datang ke mahkamah hari ini, sebab saya nak tahu situasi yang berlaku, malah saya akan cuba untuk hadir setiap kali prosiding ini berlangsung,” katanya.

Selain itu, Muhammad Hafidz yang bekerja sendiri turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa mendoakan bapanya.

Mudzyadaha Mohammad, 42, yang bekerja sebagai pemandu lori, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.

Kesalahan didakwa dilakukan di kilometer 22.2 Lebuhraya Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) di sini, pada jam 1.10 petang, 14 Jun lalu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di lokasi berkenaan.

Mangsa, Ahmad Fadzil menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.

Susulan itu, pihak polis merakam percakapan seorang suspek yang merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha bagi membantu siasatan kes tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!