Majikan sektor PKS, kedai makan paling banyak culas carum Perkeso

Mohammed Azman (kanan) melancarkan Ops Kesan Perkeso Peringkat Kebangsaan di Sepang pada Isnin.
Mohammed Azman (kanan) melancarkan Ops Kesan Perkeso Peringkat Kebangsaan di Sepang pada Isnin.
A
A
A

SEPANG – [DIKEMAS KINI] Sektor perusahan kecil dan sederhana (PKS), peruncitan dan kedai makan yang tidak mempunyai pengurusan sistematik dikesan gagal mendaftar pekerja untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kesalahan itu antara paling banyak dikesan dalam Ops Kesan Perkeso di sekitar Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi, Nilai (Bandar Enstek) dan Banting pada Isnin.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, majikan-majikan terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Matlamat utama adalah untuk memastikan para pekerja termasuk pekerja asing dan pekerja domestik dilindungi Perkeso meskipun bekerja separuh masa apabila mereka berdepan dengan sebarang kontingensi kemalangan, keilatan, kematian atau kehilangan pekerjaan,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai operasi dan melancarkan Ops Kesan Perkeso Peringkat Kebangsaan di Sepang pada Isnin.

Turut serta dalam operasi itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin dan Ketua Bahagian Caruman dan Penguatkuasaan Perkeso, Jazlina Alias.

Mohammed Azman berkata, setakat jam 3 petang pada Isnin, sebanyak 3,457 lawatan pemeriksaan ke premis majikan dengan Notis Kompaun Akta 4 dikeluarkan sebanyak 564 notis dan Akta 800 sebanyak 173 notis.

Keseluruhan jumlah kompaun bagi kedua-dua akta adalah sebanyak 737 notis kompaun melibatkan nilai sebanyak RM710,700.

“Sebelum ini, Perkeso telah memberi peluang kepada majikan selama dua bulan tempoh pemutihan dari 1 Mei hingga 30 Jun 2023 untuk mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka secara sukarela tanpa sebarang tindakan penalti atau kompaun.

“Berdasarkan rekod pendaftaran Perkeso seluruh negara sehingga 30 Jun 2023, sejumlah 1.16 juta majikan telah berdaftar dengan Perkeso.

"Walau bagaimanapun, jumlah majikan yang aktif mencarum (iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan) adalah 581,936 majikan,” ujarnya.

Difahamkan jumlah pekerja aktif (sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan) adalah seramai 9.4 juta orang termasuk 33,447 pekerja domestik dan 1.3 juta pekerja asing,

Tegasnya, jumlah kompaun yang boleh dikenakan bagi setiap kesalahan yang dilakukan boleh mencecah sehingga RM5,000.

“Kegagalan majikan berbuat demkkain boleh dikenakan penalti atau Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, majikan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!