PRN: 4,400 polis Negeri Sembilan jaga keselamatan
SEREMBAN - Seramai 4,400 pegawai dan anggota polis Negeri Sembilan akan ditugaskan menjaga keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua mereka sudah bersiap sedia dari aspek fizikal dan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.
"Kita juga menerima bantuan sumber manusia dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman iaitu seramai 1,000 orang bagi melancarkan penugasan pada PRN.
"Enam lokasi di negeri ini dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) sepanjang PRN ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan, di sini pada Isnin.
Menurutnya, semua pihak yang berhasrat menganjurkan program politik supaya menghormati Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dengan mematuhi peraturan ditetapkan.
"Sekarang belum lagi tempoh berkempen, tapi dah banyak program politik dianjurkan dan kita minta semua parti politik maklum dahulu kepada pihak berwajib sebelum menganjurkan program," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!