Jajaran WCE di Perak dijangka siap hujung tahun ini

Jajaran Lebuh raya Pantai Barat (WCE) di dalam negeri Perak sepanjang 130km dijangka akan disempurnakan menjelang hujung tahun ini.
Jajaran Lebuh raya Pantai Barat (WCE) di dalam negeri Perak sepanjang 130km dijangka akan disempurnakan menjelang hujung tahun ini.
A
A
A

IPOH - Jajaran Lebuh raya Pantai Barat (WCE) di dalam negeri Perak sepanjang 130km dijangka akan disempurnakan menjelang hujung tahun ini.

Ketua Operasi Lebuh Raya WCE, Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata, Seksyen 11 yang masih belum dibuka melibatkan persimpangan Beruas ke Taiping Selatan sepanjang 35.5km itu sudah 88 peratus siap dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Menurutnya, selain itu juga Seksyen 1, 2, 6 dan 8 lebuh raya berkenaan melibatkan SKVE, Banting dan Assam Jawa yang berada di Selangor juga akan turut dibuka pada tahun ini sebelum disempurnakan pada awal tahun 2025.

"WCE merupakan lebuh raya pesisiran pantai yang menghubungkan bandar-bandar pesisiran pantai bermula daripada Banting sehingga Taiping selain menjadi lebuh raya yang menghubungkan pelabuhan utama bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan akan terus ke Pelabuhan Pulau Pinang.

"Lebuh raya ini juga dihubungkan oleh dua jajaran dikenali sebagai Seksyen Tanpa Tol yang telah dinaik taraf oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) dan telah pun dibuka iaitu di Selangor bermula dari Tanjung Karang berakhir di Sabak Bernam sepanjang 50 kilometer manakala untuk Perak bermula di Teluk Intan dan berakhir di Lekir sepanjang 30km yang mana geometri jalannya sama dengan lebuh raya," katanya kepada pemberita.

Seksyen 11 WCE yang menghubungkan Beruas dengan Taiping Selatan dijangka diadakan dibuka menjelang hujung tahun ini.
Seksyen 11 WCE yang menghubungkan Beruas dengan Taiping Selatan dijangka diadakan dibuka menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama pengamal media Perak di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Sementara itu, Syed Muhd Naguib berkata, jumlah kenderaan melalui lebuh raya yang dibuka sejak tahun 2019 itu juga mencatat peningkatan sekitar 30 peratus daripada 35,000 sehari kepada 60,000 sehari.

Menurutnya, ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini juga, jumlah tersebut mencecah sehingga 100,000 kenderaan sehari.

"Sebagai satu langkah pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem, kita turut menyediakan dua kotak pembentung haiwan yang membolehkan haiwan liar melaluinya. Ia merupakan terowong khas pertama yang dibina di lebuh raya bagi tujuan tersebut.

"Di samping itu, pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, kita merancang untuk mewujudkan hab pengecasan kenderaan elektrik iaitu dua di Selangor dan dua di Perak manakala selebihnya kita jangkakan pada suku pertama tahun 2025," katanya.

Beliau menjangkakan setelah siap sepenuhnya kelak, kira-kira 300,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya berkenaan sepanjang 320km.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!