Exco Srikandi Bersatu minta penularan video dihentikan

Tangkap layar video yang memaparkan Nor Azah sedang bertengkar dengan Samsudin.
Tangkap layar video yang memaparkan Nor Azah sedang bertengkar dengan Samsudin.
A
A
A

GEORGETOWN - Exco Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nor Azah Abdul Aziz meminta orang ramai supaya menghentikan penyebaran video pertengkaran mulut antara beliau dan seorang lelaki warga emas.

Menurut Nor Azah, video pertengkaran itu berlaku pada lima tahun lalu antara dirinya dengan sepupu, Samsudin Ismail, 66 dan ia melibatkan masalah dalaman keluarganya.

Nor Azah berkata, beliau dan Samsudin sudah berbaik semula setahun selepas pertengkaran itu berlaku.

"Memang benar video itu adalah saya dan sepupu namun itu video lama. Ia dirakam oleh salah seorang ahli keluarga ketika kejadian itu.

"Pertengkaran itu berlaku adalah disebabkan masalah keluarga. Tak ada apa yang serius pun, biasa lah berkelahi antara keluarga. Benda (perkara) dan 'settle' pun.

"Saya dan Abang Din (Samsudin) pun dah lama baik, kami pun dah lupa apa yang sebenarnya berlaku. Saya mohon agar orang ramai berhenti menyebarkan video tersebut kerana isu antara kami sekeluarga sudah selesai," katanya pada sidang akhbar di Gelugor, Sungai Dua di sini pada Isnin.

Nor Azah sudah berbaik semula dengan Samsudin setahun selepas pertengkaran mereka pada lima tahun lalu.
Nor Azah sudah berbaik semula dengan Samsudin setahun selepas pertengkaran mereka pada lima tahun lalu.

Sebelum ini, tular video yang mempertikaikan kepimpinan Nor Azah kerana dia pernah bertengkar serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada Samsudin.

Menurut beliau, ia bukan kali pertama video tersebut tular, yang mana, kali pertama dan kedua adalah ketika beliau bertanding untuk jawatan Exco Srikandi Bersatu Malaysia dan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor pada 2020.

"Saya terkejut ketika lihat video itu di media sosial beberapa hari lepas lalu saya menghubungi isteri Abang Din untuk memberitahu perkara tersebut. Ini kerana, saya tidak mahu Abang Din terkejut kerana dia tidak sihat.

"Pada mulanya kami sepakat untuk membiarkan sahaja tetapi apabila memikirkan aib dan maruah keluarga, saya tampil untuk menjelaskan perkara sebenar bersama sepupu saya.

"Jika ia hanya melibatkan saya sahaja, saya tak kisah tetapi ini melibatkan keluarga dan keluarga Abang Din, jadi saya perlu bertindak. Saya akan membuat laporan polis di Balai Jelutong selepas ini untuk membersihkan nama saya dan keluarga," katanya lagi.

Ditanya sama ada ia ada kena mengena dengan dirinya yang akan dicalonkan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan pada Ogos ini, Nor Azah berkata, kemungkinan besar ia ada kena mengena dengan perkara tersebut.

"Banyak kemungkinan tetapi saya percaya ia ada kena mengena dengan PRN, mungkin juga orang yang menyebarkan video yang disunting itu berniat untuk memburukkan imej saya.

"Sepanjang 20 tahun terlibat dengan politik, ini kali pertama paling teruk saya kena. Bagi saya, ini asam garam politik, saya sudah biasa tetapi kali ini paling terkesan kerana membabitkan ahli keluarga.

"Sementara itu, soal calon, saya serahkan kepada pimpinan pusat untuk menentukannya. Mengenai video ini, saya sudah memberi penjelasan kepada pimpinan Srikandi Pusat untuk membersihkan nama saya," katanya.

Sementara itu, Samsudin berkata, dia tidak menyangka video tersebut tular semula kerana ia perkara lama yang telah diselesaikan.

"Saya dah tak ingat pun perkara itu. Saya tidak mahu ulas lebih-lebih, cukup dengan apa yang Azah terangkan.

"Cuma saya minta hentikan lah daripada terus tular video tersebut, jangan sebar perkara yang tidak berfaedah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!