PH-BN sembunyi DAP raih undi PRN - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyelar tindakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) apabila dilihat cuba menyembunyikan DAP bagi meraihkan undian dalam pilihan raya negeri (PRN).

Beliau berkata, ia susulan daripada satu program di Selangor di mana tempat duduk Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan merangkap Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh diletak jauh.

"Akibatnya, dia sentiasa berada di luar capaian lensa kamera dan video manakala masa berucap pun hanya empat minit sahaja.

"Jelas sekali, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu menyembunyikan hakikat bahawa parti aliran kiri bernama DAP itu adalah naungan terbesar dalam kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan Selangor.

"Setiap satu undi PH-UMNO dalam PRN nanti ialah undi untuk parti DAP, ia kembali menguasai dengan bilangan mereka yang banyak berbanding parti lain.

"Sebab itu saya tidak pelik jika strategi UMNO dan PH ialah menyembunyikan DAP agar mereka dapat 'mewajahkan' gabungan mereka dengan gambaran mengelirukan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Wan Saiful, bagaimanapun cara PH dan BN mahu menyembunyikan DAP, parti itu tetap 'abang besar'.

"DAP tetap DAP dan jika PH-BN diberi undi, maka parti kiri itu akan terus menjadi abang besar," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!