'Geng Casa' aktif pecah rumah teres tumpas

Ahmad Dzaffir (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam tangkapan dilakukan
Ahmad Dzaffir (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam tangkapan dilakukan
A
A
A

SEREMBAN - Kegiatan sekumpulan geng pecah rumah teres di Negeri Sembilan yang digelar sebagai 'Geng Casa' sehingga melibatkan kerugian lebih RM500,000 tumpas susulan tertangkapnya lapan suspek.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 36 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di negeri ini dan di Selangor dari 1 hingga 8 Julai lalu.

"Polis menerima beberapa laporan pecah rumah yang dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki di empat daerah di negeri ini dan dikatakan bergiat aktif sejak awal tahun 2023.

"Rentetan itu, satu operasi khas iaitu Op Casa dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan sejak awal bulan lalu dan berjaya menahan lapan suspek berusia 23 hingga 36 tahun di Negeri Sembilan dan Selangor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah menyasarkan rumah teres yang mudah dipecah masuk pada waktu malam atau awal pagi dengan memanjat pagar.

Malah katanya, kumpulan terbabit turut bertindak agresif terhadap mangsa dengan setiap ahli menggunakan parang dan kebanyakan mangsa turut diikat.

"Mereka berpakaian gelap, bersenjata tajam, memakai sarung tangan dan bertopeng bagi mengelak dari dikenali mangsa.

"Siasatan lanjut turut mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan samun, curi, khianat, mencederakan manusia, ugutan jenayah dan merusuh menggunakan senjata tajam," katanya.

Selain itu katanya, polis turut merampas pelbagai barang antaranya, lapan telefon bimbit, sebuah peti besi yang dipercayai kes di Kuala Pilah sebelum ini, dua rangka kenderaan yang dibakar, dua kenderaan dan beberapa hasil samun serta peralatan pecah rumah.

"Dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 14 kes yang dilakukan kumpulan sama dengan 10 dilaporkan di negeri ini, tiga di Selangor dan satu di Perak yang membabitkan kerugian berjumlah RM550,000.

"Semua tangkapan direman selama lima hari bermula 7 hingga 11 Julai. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!