Bot terbakar, dua beradik selamat dari rentung
SEMPORNA - Tindakan pantas pasukan bomba hadir ke lokasi sebuah bot nelayan terbakar berjaya menyelamatkan nyawa dua beradik daripada menjadi mangsa rentung dalam kejadian di perairan Semporna di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, remaja Palauh berusia 15 tahun bersama adiknya berusia dua tahun sempat diselamatkan sebelum kebakaran merebak ke seluruh bot berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, kebakaran itu disedari oleh pihaknya sebelum bertindak menghantar sepasukan bomba di lokasi kejadian.
"Tanpa berlengah, sepasukan anggota dikejar ke lokasi dan sebaik tiba terdapat dua individu berada di bot berkenaan.
"Api didapati marak di bahagian enjin dan usaha menyelamatkan dua mangsa segera dilakukan sebelum bertindak memadamkan kebakaran di bot berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering.
"Namun bot jenis kayu itu telah terbakar sebanyak 60 peratus dan operasi ditamatkan pada jam 1.48 petang," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kinabatangan, seorang lelaki melecur dalam kebakaran rumah di kawasan ladang di Kampung Paris, di sini.
Mohd Affendy Ariffin, 25, segera dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Ketua BBP Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah dan hampir musnah keseluruhannya.
"Terdapat mangsa dan tahap melecurnya sebanyak 45 peratus. Mangsa telah menerima rawatan di hospital," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!