Jangan benamkan irama keroncong
BERDASARKAN historiografi, keroncong merupakan sejenis seni muzik yang dibawa masuk melalui penjajahan Portugis ke atas Indonesia pada abad ke-16.
Irama itu kemudian 'berhijrah' ke tanah air kita sejajar dengan kedatangan pekerja buruh dari republik berkenaan.
Ya, pada mulanya lagu keroncong yang dimainkan oleh masyarakat kita berbaur Indonesia.
Pun demikian, lama-kelamaan karyawan tempatan seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P Ramlee, Johar Bahar, Sudar Mohammad dan Zainal Ibrahim mencipta karya tersebut mengikut selera orang Melayu.
Namun, pada saat negara dibawa arus kemodenan dan kemunculan kepelbagaian cabang muzik, irama yang bikin halwa telinga larut dengan ritma indah itu tidak lagi menjadi pilihan.
Lebih buruk lagi, ada yang tiada pengetahuan langsung tentangnya. Jika ditanya pada sebilangan anak muda, pasti mereka terpinga-pinga. Kalau disoal apakah instrumen yang digunakan, mereka memang langsung tak tahu.
Justeru, timbul persoalan, setakat mana irama keroncong akan terus bertahan? Adakah akan terbenam begitu sahaja dan apakah strategi penggiat seni dalam memartabatkan kembali seni ulung itu?
Untuk mendapatkan jawapan, penulis menemu bual penyanyi legenda yang terkenal dengan muzik tersebut, Datuk Yusni Hamid.
Imbau Yusni atau nama sebenarnya Aisah Mohd Shariff, 72, Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail antara figura yang cukup menghargai irama tradisional itu.
Kongsinya, ketika hayat baginda, hampir saban tahun Persembahan Keroncong Diraja akan dianjurkan. Ia diikuti dengan Konsert Keroncong Perdana yang dipersembahkan khusus untuk rakyat jelata sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.
Kesinambungan itu terus-menerus sehingga kini. Johor masih kekal menghargai keroncong.
“Dahulu saya antara artis yang sering diundang untuk mengadakan persembahan. Tak silap saya di bawah Yayasan Warisan Johor, mereka ada kumpulan keroncong sendiri yang sebelum ini sering membuat persembahan termasuk di istana," ujarnya kepada SinarPlus.
Tidak menafikan irama tersebut seakan-akan sudah dilupakan, Yusni berkata, masih ada sinar untuk berubah jika ada usaha dan tekad.
Semestinya, ia tidak boleh bersandarkan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan ramai individu daripada pelbagai cabang.
"Kalau dahulu kita boleh ada Pencarian Bintang P Ramlee, Pertandingan Lagu Melayu Klasik dan lain-lain, mengapa kini kita tidak ada pencarian pelapis lagu keroncong?
"Walaupun ada yang berpendapat genre lagu ini hanya untuk orang tua tetapi saya tidak melihat sebegitu. Keroncong ini kalau dinikmati, ia sesuai dengan semua lapisan usia. Kalau betul cara dipromosikan, tidak mustahil tempo ini akan kembali popular dan disukai ramai," jelasnya.
Tidak terikat dengan cara lama dalam aspek penyampaian lagu, Yusni menegaskan, demi menyuntik elemen yang lebih segar, beliau akan mengubah susunan muzik sesebuah lagu berentak keroncong.
"Tidak salah untuk tukar (susunan muzik) tetapi janganlah keterlaluan. Keroncong ini muziknya lemah-lembut bunyinya, jadi biarlah pendengar terus khusyuk menghayati lagu tersebut," katanya yang bakal membuat persembahan dalam Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos ini bersama Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie dan Datin Alyah.
Konsert anjuran Irama Studios yang disokong Kementerian Komunikasi dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn Bhd itu turut diserikan dengan kehadiran pelapis generasi baharu iaitu Rasyidah Abd Rahim, Jamilah Abu Bakar serta juara Big Stage musim kedua, Han Byul.
Peranan artis popular
Sependapat dengan Yusni ialah Pengarah Persembahan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia, Nazrul Asraff Mahzan.Nazrul Asraff yang merupakan wakil penganjur, Irama Studios melihat melodi keroncong masih belum ditelan zaman.
Bahkan, beliau berpendapat, sekiranya diberi peluang, tidak mustahil rentak itu akan menjadi siulan dan memahat kemas hati generasi muda.
"Apa yang saya lihat, irama ini tidak mendapat ruang yang luas seperti pop, rock atau balada, padahal ia antara irama warisan yang perlu dihargai.
"Atas sebab itu, kami cuba untuk mengangkat semula muzik keroncong dan tidak terikat pada irama aslinya sahaja, sebaliknya memberi kepercayaan kepada penyanyi yang berbeza genre lagu untuk menyampaikan irama keroncong dengan cara mereka tersendiri.
"Paling penting, lagu itu tidak lari daripada terasnya dan akan memberi pendengar satu pengalaman baharu yang tidak akan dilupakan," katanya.
Tidak hanya mengangkat irama keroncong di tanah air sendiri, Nazrul Asraff berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk membawa muzik itu ke peringkat ASEAN pula.
Pada masa sama, beliau turut berharap lebih ramai penyanyi terkenal mengambil langkah berani untuk mengangkat semula karya tersebut seperti yang dilakukan kebanyakan artis popular yang mendendangkan kembali lagu klasik Melayu.
"Saya percaya kalau betul ramuannya, muzik keroncong ini akan kembali mendapat tempat dalam hati pendengar, sekali gus pemahaman yang mengatakan rentak ini hanya untuk warga dapat dihapuskan," akhirinya.
Bagi pandangan SinarPlus sendiri, idea-idea yang dilontarkan Yusni, mahupun Nazrul Asraff sangat bernas.
Sememangnya, kesanggupan dan kerelaan penyanyi popular merupakan antara formula paling ampuh untuk mengembalikan kegemilangan irama keroncong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!