Suri rumah didenda RM10,000 guna sijil kelahiran palsu
PEKAN - Seorang suri rumah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Pekan pada Isnin atas pertuduhan menggunakan sijil kelahiran yang mengandungi maklumat palsu.
Majistret Wahidah Zainal Abidin memerintah hukuman tersebut selepas tertuduh, Chua Chiew Yen, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Chiew Yen didakwa menggunakan Sijil Kelahiran dengan menyedari ia mengandungi apa-apa butiran palsu semasa membuat kad pengenalan 12 tahun seorang kanak-kanak sebagai anaknya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 36 (1) (h) Akta Kelahiran Dan Kematian 1957 (Akta 299).
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Pahang, Mohd Jeffri Abd Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sehubungan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi kenyataannya meminta orang ramai agar memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam penyaluran maklumat agar setiap isu penyelewengan dapat dikesan.
Jabatan itu turut berharap agar setiap kesalahan dilakukan dapat diambil tindakan penguatkuasaan dan menjadi teladan kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!