Waode mahu terus bina kerjaya di Malaysia
NAIB juara Big Stage 2023, Waode berharap agar terus diberikan peluang untuk mengembangkan bakatnya nyanyian di Malaysia meski program tersebut sudah berakhir pada Ahad.
Pemilik nama sebenar Waode Heni Andraini itu berkata, sepanjang 10 minggu beraksi di pentas Big Stage, banyak ilmu dan perkara baharu yang dipelajarinya untuk menjadi seorang penyanyi berkualiti.
“Sejujurnya pengalaman beraksi di pentas Big Stage ini adalah luar biasa buat saya. Banyak perkara baharu saya pelajari di sini untuk menjadi penyanyi dan penghibur berkualiti.
“Mungkin dalam persembahan di Indonesia sebelum ini, saya tidak fikirkan tentang kreativiti yang harus dipersembahkan di pentas dan hanya menyanyi sahaja.
“Namun selepas menyertai program ini, saya banyak dapat ilmu baharu tentang perkara itu dan diminta berfikir untuk menjadikan sesuatu persembahan itu lebih bagus. Di sini kita diajar untuk tidak hanya menyanyi, tetapi menjadi seorang penghibur dan itu sangat diperlukan oleh semua,” ujarnya.
Dalam masa sama, Waode yang sering mendapat pujian juri berikutan persembahan menarik yang ditampilkan setiap minggu, teruja apabila turut diterima baik peminat di Malaysia.
“Saya bersyukur berada di pentas ini kerana ia menjadi platform yang membuka satu lagi langkah untuk saya untuk mengembangkan karya di sini.
“Karya di Indonesia, saya sudah tahu seperti apa, tetapi di Malaysia mungkin berbeza dan saya harap dapat mengembangkan bakat dalam pasaran yang lebih besar.
“Terima kasih kepada mereka yang menerima saya di sini, selain teman-teman baharu yang turut saling menyokong. Tanpa mereka mungkin saya tidak berada di sini seperti hari ini,” katanya.
Mengulas tentang perdebatan di media sosial melibatkan peminat dari Indonesia yang membandingkan dirinya dengan peserta dari Malaysia, Waode menyifatkan ia sebagai perkara biasa dalam sesebuah pertandingan.
“Hal seperti itu sudah sering saya dengar kerana sebelum ini selalu masuk pertandingan dan memang antara peminat itu selalu ‘perang’, apa lagi bila kita membawa nama negara.
“Saya fikir itu adalah hal biasa kerana seseorang akan cenderung membela negara sendiri, cuma bezanya dalam bentuk seperti apa. Namun dalam aspek yang lain ia turut menjadi motivasi untuk kita memberikan yang terbaik bagi memenuhi harapan mereka pada kita yang membawa nama negara.
“Apa-apa pun keputusannya, terima saja dengan ikhlas. Selanjutnya tunggu karya yang akan kita berikan selepas ini. Jangan gaduh-gaduh,” katanya.
Waode merupakan salah seorang pesaing terdekat juara Big Stage 2023, Nadeera Zaini dan menghangatkan pentas akhir program kegemaran ramai itu dengan perse,bahan mantap menerusi lagu I’d Do Anything For Love But I Won’t Do That), nyanyian asal Meat Loaf dan Semalam untuk segmen battle mashup.
Selaku naib juara, Waode membawa pulang hadiah ang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!