Hukuman penjara sehari, denda RM2.5 juta bekas CEO Transmile kekal

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas CEO Transmile untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos 2020 itu.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas CEO Transmile untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos 2020 itu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin mengetepikan hukuman dua tahun penjara terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Transmile, Gan Boon Aun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi kerana mengemukakan penyata kewangan mengelirukan mengenai syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia).

Sebaliknya, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk M Gunalan dan Datuk Azman Abdullah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2.5 juta.

Mahkamah membenarkan rayuan Boon Aun untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos 2020 itu.

Hadhariah yang menyampaikan keputusan mahkamah itu, memerintahkan keputusan Mahkamah Tinggi menaikkan hukuman penjara terhadap Boon Aun sebagai batal dan tak sah kerana ia bercanggah dengan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, kedua-dua notis rayuan dan notis pendengaran tidak diserahkan terus kepada Boon Aun oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 314.

Beliau juga berkata, tiada merit dalam hujahan Suruhanjaya Sekuriti yang menyatakan peguam mewakili Boon Aun tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Suruhanjaya Sekuriti berhujah notis rayuan yang difailkan peguam Boon Aun tidak mengikut prosedur kerana beliau menerima arahan daripada anak perempuan Boon Aun untuk memfailkan notis rayuan sedangkan arahan perlu datang daripada Boon Aun sendiri.

Peguam Boon Aun, Guok Ngek Seong mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ketika dihubungi Bernama.

Boon Aun meninggalkan Malaysia sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen dan rayuan silang terhadap hukumannya yang dibawa oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau sudah menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda yang dikenakan kepadanya.

Pada 25 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Suruhanjaya Sekuriti dan menambah hukuman penjara Boon Aun daripada sehari kepada 24 bulan.

Boon Aun didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen kerana mengemukakan kenyataan mengelirukan dengan niat untuk memperdaya berkaitan perolehan Transmile dalam Laporan Suku Tahunan Belum Diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2006.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 122B (a) (bb) Akta Perindustrian Sekuriti (SIA) 1983 (Akta 280) yang dibaca bersama dengan Seksyen 122 (1) akta yang sama.

Datuk V Sithambaram dan Ngek Seong mewakili Boon Aun pada prosiding hari ini sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti, Mohd Hafiz Mohd Yusoff. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!