KKR jangka sistem tol MLFF dapat dilaksanakan pada 2025

Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem pembayaran tol 'Aliran Pantas Pelbagai Lorong' atau Multi Lane Fast Flow (MLFF) dijangka dapat dilaksanakan pada 2025, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, sistem berkenaan masih lagi dalam proses perundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya, namun pihaknya berharap agar mendapat persetujuan lebih awal dengan syarikat konsensi yang terlibat, supaya sistem MLFF itu dapat dilaksanakan lebih cepat pada penghujung 2024.

"Pelbagai lagi perkara berkaitan perlu diperhalusi, sebab ia melibatkan syarikat konsesi yang banyak serta melibatkan dari segi perundangan, segi kawal selia, persediaan membangunkan sistem itu dan teknologi yang terlibat,” katanya dalam rancangan temu bual Naratif Khas yang bertajuk OPS: Pengurusan Trafik Efisien dan Moden di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Beliau berkata, sistem MLFF tersebut, akan lebih memudahkan pembayaran pengguna lebuh raya dengan menggunakan sistem tol gantri yang dilengkapi dengan kamera pengesan.

Pada 27 Mac lepas, Nanta telah mengumumkan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) telah terpilih sebagai lokasi bukti konsep (POC) MLFF yang pertama, yang akan dilaksanakan pada penghujung Oktober 2023.

Sementara itu, beliau berkata, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dan rangkaian lebuh raya di bawah IJM Corporation Bhd (IJM), akan memulakan sistem pembayaran tol OPS atau sistem pembayaran terbuka pada September ini, sebelum ia diperluaskan kepada 10 lagi syarikat konsesi yang terlibat.

"OPS ini dapat memberikan pilihan pembayaran (tol) kepada pengguna dengan lebih fleksibel, kerana ia boleh dibayar menggunakan kad debit, kad Visa ataupun Mastercard. Akan datang, kita (Kementerian Kerja Raya) akan mengambil kira pembayaran e-Wallet,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!