Malaysia-India sahkan komitmen tingkat kerjasama pertahanan

Mohamad (dua, kanan) dan Rajnath Singh (tiga, kanan) menyaksikan majlis menandatangani surat pertukaran antara kerajaan Malaysia-India untuk pindaan kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Pertahanan. - Foto Bernama
Mohamad (dua, kanan) dan Rajnath Singh (tiga, kanan) menyaksikan majlis menandatangani surat pertukaran antara kerajaan Malaysia-India untuk pindaan kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Pertahanan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan India mengesahkan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan, khususnya dalam aspek kerjasama antara tentera dan sains pertahanan, teknologi dan industri.

Ia dicapai dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dari India, Shri Rajnath Singh di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini pada Isnin.

Shri Rajnath Singh tiba di sini pada Ahad untuk lawatan pengenalan empat hari ke Malaysia.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin memperakui dan bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan India dengan menandatangani Pertukaran Surat (EoL) untuk meminda Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan India yang ditandatangani pada tahun 1993.

"Penandatanganan EoL akan memudahkan lebih banyak aktiviti dua hala antara ketiga-tiga perkhidmatan ketenteraan pada masa hadapan,” katanya.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meneroka lebih banyak kerjasama antara Malaysia dan India dalam kebolehoperasian kedua-dua tentera dalam ketiga-tiga domain; darat, laut, dan udara dalam masa terdekat.

Persamaan aset pertahanan antara kedua-dua negara akan meningkatkan kerjasama, terutamanya dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

"Mereka juga bersetuju untuk menubuhkan Forum SU-30 dan Kumpulan Kerja Hal Ehwal Strategik untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua kementerian dengan pegawai kanan dan anggota tentera dari kedua-dua kementerian akan terus membincangkan perkara berkaitan pertahanan menggunakan platform ini,” menurut kenyataan itu.

Lawatan rasmi Menteri Pertahanan India ke Malaysia mencerminkan kepentingan hubungan pertahanan antarabangsa yang kukuh seperti yang ditetapkan oleh Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Nasional, iaitu Perkongsian Boleh Dipercayai, seperti yang digariskan oleh Kertas Putih Pertahanan Malaysia (DWP). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!