Didik murid sekolah fahami rasuah dengan pendekatan visual

Usaha mendedahkan isu rasuah kepada murid sekolah perlu ditambah baik dari segi visual seperti cerita pendek berbentuk kartun supaya mesej disampaikan dengan ringkas dan tepat. Gambar kecil: Abdul Aziz
Usaha mendedahkan isu rasuah kepada murid sekolah perlu ditambah baik dari segi visual seperti cerita pendek berbentuk kartun supaya mesej disampaikan dengan ringkas dan tepat. Gambar kecil: Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Pendekatan dalam memberi pemahaman kepada murid sekolah rendah terhadap isu rasuah perlu dizahirkan secara visual, konkrit atau nampak pada pandangan mata supaya memberi kesan dalam jiwa serta mampu membentuk jati diri sebenar.

Yang di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Pahang, Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pendekatan harus diolah menggunakan kaedah yang lebih dekat dengan jiwa murid sekolah rendah.

Menurutnya, usaha mendedahkan isu rasuah perlu ditambah baik dari segi pendekatan visual misalnya perkongsian cerita pendek berbentuk kartun tentang bahaya rasuah supaya mesej disampaikan dengan ringkas dan tepat.

“Jika sebaliknya, pendekatan yang dilakukan menerusi rakaman video sukar difahami, ianya tidak akan tersemat di dalam otak dan sukar untuk difahami,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ujarnya, kesedaran mengenai rasuah perlu dipupuk kepada kanak-kanak lingkungan umur 7 hingga 13 tahun kerana golongan tersebut dianggap berada pada fasa kritikal.

Katanya, wajib ada penegasan yang jelas untuk mereka membezakan antara perkara baik atau buruk.

“Kalau perkara itu halal, halal lah, kalau haram maka haram lah. Kita perlu didik perkara halal haram ini, tegas dalam soal mana baik dan mana buruk.

“Sekarang kita perlu beri pemahaman jitu kepada mereka kerana dalam lingkungan umur ini yang akan memastikan fasa umur berikutnya berjaya atau tidak,” ujarnya.

Beliau yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Jengka Pusat 2 berkata, ia perlu diberi penekanan dengan mengambil kira contoh didikan Nabi Muhammad SAW yang mana anak-anak harus dipukul jika tidak solat pada umur 10 tahun.

Jelasnya, ajaran sebegitu membentuk nilai moral yang bakal menyelamatkan negara dengan lahirnya generasi terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!