Tiada duit belanja, anak terpaksa ponteng sekolah

Nurul Adawiyah Wahyu (dua dari kiri) dan Nur Batrisha Hidayah (dua dari kanan) tidak ke sekolah kerana tidak ada wang saku.
Nurul Adawiyah Wahyu (dua dari kiri) dan Nur Batrisha Hidayah (dua dari kanan) tidak ke sekolah kerana tidak ada wang saku.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua beradik di Kampung Berhala Lima, Limbat, di sini, terpaksa ponteng sekolah sejak tiga minggu lalu akibat tidak mempunyai wang saku untuk berbelanja makan.

Mereka ialah Nurul Adawiyah Wahyu Azizi, 12, yang bersekolah darjah enam di Sekolah Kebangsaan Long Gafar dan kakaknya, Nur Batrisha Hidayah, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Saadong.

Kedua-duanya anak kepada pasangan suami isteri, Aziz Mohd Nor, 49, (bekerja tidak tetap seperti mengambil ubah mengecat rumah sekitar RM50 sehari) dan Azleen Ahmad Azmi, 44, (tukang cuci dengan pendapatan tidak tetap RM60 sehari).

Azleen berkata, Nur Batrisha juga anak kedua daripada tujuh beradik itu sepatutnya pulang ke asrama sekolah yang terletak di Bukit Marak, Bachok, sejauh 10 kilometer dari rumah mereka.

Menurutnya, remaja itu bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian kerana dia dan suami tidak dapat menyediakan sejumlah wang untuk anak tersebut belanja di sekolah pada setiap minggu.

Azleen (kanan) memangku bayi bongsu bersama enam lagi anaknya.
Azleen (kanan) memangku bayi bongsu bersama enam lagi anaknya.

“Anak ketiga, Nurul Adawiyah pun sama tidak dapat ke sekolah kerana saya tidak dapat memberikan wang saku sebanyak RM3 setiap hari.

“Dia memperoleh Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tetapi tidak dapat menahan lapar kerana perlu mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di sekolah sehingga jam 3.30 petang,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini pada Isnin.

Ujar Azleen, enam daripada tujuh anaknya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM750 sebulan.

Dia berkata, jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi dengan keadaan tiga anak berusia empat tahun (perempuan), tiga tahun (lelaki) dan empat bulan (perempuan) masih minum susu formula manakala dua daripadanya memakai lampin pakai buang sementara seorang lagi berusia enam tahun bersekolah tadika.

“Kos susu sebulan hampir RM800 dan lampin pula RM150, makan minum ala kadar sahaja. Kadang-kala, kami makan mi segera atau nasi dengan telur goreng.

“Ada juga hari yang kami makan lauk semalaman seperti gulai ayam dalam ketulan kecil dibahagikan beramai-ramai,” katanya.

Ujar wanita itu, ada saja hari anak-anak ke sekolah tanpa membawa wang saku tetapi mereka sudah tidak dapat bertahan dengan keadaan itu.

Dia juga memberitahu, wang dan makanan menjadi keutamaan yang sangat diperlukan oleh keluarganya melebihi keperluan tempat tinggal mereka sembilan beranak.

Azleen (tengah) sekeluarga tinggal di sebuah rumah terbengkalai.
Azleen (tengah) sekeluarga tinggal di sebuah rumah terbengkalai.

“Rumah yang kami duduki ini ialah rumah kosong di taman perumahan terbengkalai.

“Pemilik membenarkan kami tinggal di sini sejak tiga tahun lalu, namun sekarang sudah dijual kepada orang lain dan selepas ini kami akan pindah ke rumah kosong terbengkalai yang lain di hadapan rumah ini,” katanya.

Dalam pada itu, hasil semakan, keluarga ini pernah menerima zakat berjumlah RM2,000 melalui Bantuan Segera Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan bantuan persekolahan anak-anak pada Januari lalu.

Bagi orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Bank Islam Aziz Mohd Nor 03111020837104 atau hubunginya di talian 011-72767414.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!