Isu 3R tidak patut keluar daripada mulut orang politik
BEBERAPA hari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu sidang media mengingatkan parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya tidak memainkan isu-isu sensitif sepanjang berkempen khususnya berkaitan isu 3R (bangsa, agama dan raja).
Beliau turut menyatakan kesemua parti yang bertanding perlu mematuhi undang-undang pilihan raya, antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan.
Namun, belum pun hari penamaan calon yang ditetapkan 29 Julai ini, kenyataan dan ucapan-ucapan yang menyentuh 3R semakin galak oleh orang politik.
Peringatan ini seperti tidak dipedulikan apabila orang politik ini dilihat merasakan diri mereka terlalu besar dan bebas bercakap apa sahaja.
Bagaimanapun, tidak ada seorang pun lebih besar daripada undang-undang dan pujian wajar diberikan kepada polis kerana telah mengambil tindakan pantas.
Pada Isnin, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng disiasat pihak berkuasa berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman dalam sebuah program di Pulau Pinang pada Jumaat lalu.
Terbaharu, polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang dipercayai menyentuh isu 3R.
Diharapkan perkara ini menjadi peringatan kepada orang politik supaya berkempen dengan cara berhemah tanpa perlu menyentuh perkara yang mengundang rasa kurang senang rakyat.
Rakyat sebenarnya mengharapkan pihak yang mampu membantu mereka menstabilkan kehidupan kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai peningkatan keperluan dalam kehidupan dan mereka tidak sesekali ‘kenyang’ dengan kisah-kisah sensitif serta fitnah.
Sepatutnya orang politik menjadi contoh kepada pengundi lebih-lebih lagi anak muda yang baru kali pertama membuang undi. Apa yang ditunjukkan pasti itulah yang akan dicontohi.
Adakah pemimpin hari ini mahu mewariskan perkara tidak baik kepada pelapis mereka kelak. Tidak ada alasan bagi mereka yang mahu menghalalkan perkara yang salah.
Justeru, bagi memastikan PRN berlangsung dengan harmoni, pengawasan lebih tegas perlu dilakukan dengan tidak ada seorang pun terkecuali dengan tindakan apabila bercakap soal sensitif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!